Solidariti Palestin pertahan amanah kemanusiaan

- Advertisement -

KOTA KINABALU: Sabah meneruskan solidariti Palestin demi menunjukkan sokongan mempertahankan amanah kemanusiaan dan mengecam kekejaman zionis Israel.

- Advertisement -

Adun Dilantik Sabah, Dr Aliakbar Gulasan berkata, rakyat hanya perlu menjadi manusia untuk menyokong rakyat Palestin.

“Himpunan ini bukan hanya untuk orang yang beragam Islam tetapi menunjukkan satu solidariti bahawa orang Sabah bersama Palestin dan benci kekejaman zionis Israel.

“Lihatkan kepada dunia, lihatkan kepada Malaysia dan pimpinan negeri bahawasanya anak-anak Sabah akan terus menyokong Palestin sampai ke akhir hayat,” ujarnya ketika berucap semasa Himpunan Solidariti Palestin Negeri Sabah di Taman Awam Teluk Likas Fasa 2, semalam.

Program itu telah menghimpunkan lebih 30 badan bukan kerajaan (NGO) seluruh Sabah.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah mengucapakan terima kasih kepada semua NGO yang terlibat, pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) yang membenarkan perhimpunan tersebut dilaksanakan.

Ahli Jawatan kuasa PAS Pusat, Dr Riduan Mohd Noor berkata, terdapat empat usaha yang boleh lakukan oleh rakyat Sabah iaitu berdoa serta membaca qunut nazilah, boikot, menyumbang ke tabung bantuan Gaza dan menjadi ejen penerangan tentang Palestin dengan mengaktifkan semua media sosial.

“Walaupun setelah 45 hari serangan, Gaza berbau wangi bukti kesyahidan, kerana mereka penghafaz Al-Quran dan berpuasa,” katanya yang juga Adun Jertih, Terengganu ketika berkongsi kisah suasana Gaza.

Turut hadir dalam himpunan tersebut ialah Pengerusi NGO Sabah Relief, Ustaz Tarmizi Yahya, Timbalan Pengerusi NGO Consent, Johari Abdullah, Yang Dipertua Pekida Negeri Sabah, Sapra Rikun, dan Timbalan Pengerusi Parti Pejuang Negara Negeri Sabah, Razif Abdullah.

Setiausaha PAS negeri, Sahar Abdul Majid pula berkata, seluruh dunia bangkit mempertahankan dan memberi sokongan kepada umat Islam di Palestin. 

“Ini menunjukkan seluruh rakyat tidak mengira kaum dan agama bersama-sama bersolidariti.  Ini adalah tanda keimanan dan kesatuan kita.

“Umat Islam Palestin telah melalui suasana sukar selama 45 hari. Saya yakin dan percaya, kita tahu bahawa kita tidak mampu untuk sampai di bumi Palestin tetapi kita mahu semangat dan harta seperti wang ringgit untuk menyumbang ke tabung dana Palestin ini,” katanya.

Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Hendri Hamsah berkata, himpunan solidariti itu menunjukkan perasaan sebagai umat Islam dan orang yang ada imannya sama dengan saudara di Palestin.

“Hari ini kita melihat Israel dan sekutunya tidak pernah berhenti walaupun ada gencatan senjata,” ujarnya.

Katanya, merekalah yang mempertahankan Masjid Al-Aqsa tetapi yang sebenarnya tanggungjawab semua yang ada akidah Islam termasuk di sini.

“Adakah kita reda apa yang berlaku di sana? Sudah tentu tidak dan sebab itu kita terus bersolidariti sebagai tanda kasih sayang kepada rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 26/11/2023

- Advertisement -