Dr Samsuri bakal beri nilai tambah di parlimen

Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
- Advertisement -

KEMAMAN: Calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dijangka dapat memberikan wajah baru dan nilai tambah di parlimen, kata Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin. 

- Advertisement -

Beliau optimis apabila PAS meletakkan calon yang sememangnya mempunyai latar belakang dan pengalamannya sebagai teknokrat.

Katanya barangkali kalau kerajaan berubah, Dr Samsuri adalah antara calon yang akan diketengahkan sebagai menteri-menteri kanan.

Ahli Parlimen Jerantut itu berkata, dalam PAS ada kombinasi yang unik di mana tulang belakangnya adalah golongan ulama.

“Ia dibantu dengan baik oleh golongan aktivis dan teknorat (profesional),” katanya ketika ditemui di luar Pusat Penamaan Calon di Dewan Berlian Majlis Perbandaraan Kemaman, Chukai.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat dapat mengekalkan momentum untuk memberikan kemenangan calon PAS-PERIKATAN NASIONAL sepertimana yang ditunjukkan pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Beliau yakin PAS-PERIKATAN NASIONAL seterusnya dapat kuburkan Pakatan Harapan di Terengganu.

Lebih 2,000 orang ahli PAS mengiringi perarakan calon menuju ke pusat penamaan calon pada 8.15 pagi tadi.

PRK Kemaman diadakan susulan Mahkamah Pilihan Raya di Kuala Terengganu telah membenarkan Petisyen Pilihan Raya P.040 Kemaman dengan kos sebanyak RM30,000 pada 26 September lalu.

Hakim Pilihan Raya Datuk Anselm Charles Fernandis memutuskan sedemikian dan selanjutnya mengisytiharkan bahawa Che Alias Hamid telah dilapor pilih secara tidak sah sebagai Ahli Parlimen bagi Bahagian Pilihan Raya P.040 Kemaman pada 19 November 2022 lalu.

Pada PRU15 lalu, Che Alias memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi apabila memperolehi 65,714 undi, menewaskan Dato’ Seri Ahmad Said (BN-Umno) yang mendapat 38,535 undi, Hasuni Sudin (PH-PKR – 8,340) dan Rosli Ab Ghani (Pejuang – 506).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Parlimen Kemaman diadakan pada 2 Disember dan pengundian awal 28 November.

Daftar pemilih yang digunakan pada PRK itu ialah yang dikemaskini sehingga 3 Oktober lalu dengan jumlah 141,790 pemilih.

Menurut SPR, PRK Parlimen Kemaman memerlukan peruntukan sebanyak RM3.5 juta. – HARAKAHDAILY 18/11/2023

- Advertisement -