Gambaran terperinci calon PAS PRK P.040 Kemaman

- Advertisement -

BEBERAPA jam lagi pengumuman nama calon PAS bagi Parlimen Kemaman akan dilakukan. Kelihatannya dada-dada penyokong PAS, tidaklah terlalu berdegup kencang, sebagaimana tahun-tahun sebelum 2018. Waktu itu semua orang amat teruja menanti malam yang bakal memperkenalkan calon-calon PAS. Maklumlah, zaman itu zaman kalah, semangat mahu membenamkan PH dan BN ketika itu membuak-buak. Awal-awal lagi mereka sudah berkumpul di tempat penamaan calon. Saban hari mereka berteka-teki siapa patut menjadi calon.

Melewati tahun 2018, pasca kemenangan, adrenaline penyokong PAS menjadi sedikit rendah kerana tumpuan mereka adalah berapa banyak majoriti yang akan diperolehi tanpa terlalu melihat calon yang PAS kemukakan kerana semua ADUN-ADUN PAS memberikan khidmat yang terbaik kepada semua rakyat dengan seadilnya. Cuma ahli agak kritis dengan pimpinan PAS kerana tidak mahu kejayaan yang diperolehi akan dirampas oleh BN sebagaimana kotornya BN merampas semula Terengganu dengan penuh penipuan pada tahun 2004 itu berulang kembali.

Sikap kritis ini sangat bagus kerana ia sebagai manifestasi sayangkan jemaah. Jelas sekali, ahli tidak mahu ada pimpinan PAS yang tergelincir dari jalan perjuangan yang panjang dan memerlukan pengorbanan yang banyak ini. Jika tidak dengan nyawa sekalipun, tetapi keringat, tenaga, wang Ringgit, menjadi sia-sia dibelanjakan ahli jika ada pemimpin yang berbuat onar. Ia boleh menewaskan jemaah sendiri dengan tingkah laku curang itu. Oleh sebab itu, adakalanya sehingga berlaku perdebatan sesama sendiri dalam mendepani cabaran akhlak dan kepercayaan ini.

Calon-calon PAS secara asasnya diangkat berdasarkan sifatnya kepada amanah agama. Akhlak mereka dengan pengundi, kerja-kerja mereka dalam jemaah, semuanya akan dinilai oleh panel pemilih dengan begitu teliti. Jika tiada yang alim atau profesional di kawasan itu yang boleh memikul bebanan ini, maka yang paling terpercaya dari kalangan rakyat akan dimasukkan dalam senarai.

Mereka ini bertungkus lumus bekerja di kawasan masing-masing, dengan senang hati akan bersetuju pada bila-bila masa jika diarahkan menyerahkan kerusi itu kepada calon lain. Malah mereka pula yang tidak lekat punggung bergerak ke sana ke mari bagi memenangkan calon baharu itu. Tiada istilah kecil hati tidak terpilih. Kerana PAS mengajarkan kepada ahlinya bahawa jawatan itu adalah amanah yang berat di dunia dan menjadi punca penyesalan di akhirat nanti. Mereka yang tiada sifat ini, akan terpinggir dengan sendirinya. Akhirnya masuk Umno atau PH. 

Dalam PAS selalu berebut apabila tiba pilihan raya

Jawatan bukanlah sesuatu yang hendak dikejar oleh sesiapa. Di dalam PAS, jika seseorang itu berkempen atau meminta jawatan, maka dia akan diketepikan sama ada oleh ahli atau pimpinan kerana semua tahu, dia pasti gagal memikul bebanan tugas itu. Sesiapa sahaja yang meminta-minta jawatan, Allah tidak akan membantunya.

Dan nasihat ini terpahat rapi dalam pemikiran ahli PAS yang setia dengan perjuangan Islam. Lihat sahaja contoh terbaik pejuang-pejuang PAS yang menjadi pendidik atau yang bekerja sepenuh masa dengan jemaah, berapa gaji mereka ? Dengan keyakinan teguh rezeki dari Allah, mereka tidak merasa sedih. Majoriti mereka mampu menghantar anak-anak mereka ke universiti.

Satu kisah oleh allahyarham Dato’ Dr Haron Din sewaktu beliau menjadi Mursyidul Am PAS. Beliau telah ditanya oleh wartawan berkenaan pencalonan dalam PAS. Dengan tenang almarhum menjawab soalan wartawan dengan kata beliau lebih kurangnya, ia adalah sesuatu kebiasaan dalam PAS, apabila ada pilihan raya, mereka berebut-rebut ; ketika itu almarhum berkata wartawan mula mendekatkan mikrofon ke arah beliau. Beliau menyambung dengan berkata, mereka berebut-rebut menolak dari menjadi calon. Jawapan itu mengecewakan sebahagian wartawan yang sedang menunggu untuk memproses maklumat yang dikira sangat berharga itu bagi mereka.

Jadi, sesiapa sahaja boleh menjadi calon PAS, asalkan mereka menepati kriteria yang ditetapkan jemaah. Ahli PAS meyakini pemilihan yang ketat dibuat secara ijmak oleh Majlis Syura Ulamak PAS. Pastinya pada pilihan raya ini, calon PAS akan berbeza sekali dengan calon BN yang awal-awal sudah terperangkap dengan persoalan seperti LCS, integriti, pakatan mereka yang rapuh, kes-kes yang menjadi tanda tanya besar melibatkan duit rakyat.

PAS berjanji akan mengemukakan calon yang berintegriti tinggi sebagaimana dalam pilihan raya – pilihan raya sebelum ini. Undi anda amat berharga bagi PAS untuk membawa suara Islam ke Parlimen. Anda akan menerima pulangan nilai yang tinggi kerana memilih calon PAS.

MOHD NASIR ABDULLAH
16 November 2023 – HARAKAHDAILY 16/11/2023 

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -