Selamatkan Mahkamah Syariah

- Advertisement -

FIRMAN Allah S.W.T:

- Advertisement -

اَفَحُكْمَ الْجَاهِلِيَّةِ يَبْغُوْنَۗ وَمَنْ اَحْسَنُ مِنَ اللّٰهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُّوْقِنُوْنَ.

“Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki? (Hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang meyakini (agamanya)?”

(al-Ma’idah: 50)

Ayat di atas secara jelas menegaskan bahawa peraturan dan syariat Allah S.W.T adalah yang terbaik bagi golongan yang beriman. Bahkan tiada pilihan bagi orang mukmin melainkan hukum Allah S.W.T.

Perlembagaan negara telah meletakkan asas yang kukuh di mana Islam Agama Persekutuan telah termaktub. Ini menunjukkan ruang yang besar telah diberikan kepada syariat dan undang-undang Allah S.W.T untuk diperkasakan dan dilaksanakan khasnya bagi mereka yang beragama Islam.

Namun kemunculan pelbagai fahaman telah mengakibatkan kekeliruan terhadap keutamaan dan kedudukan Undang-undang Syariah terhadap umat Islam sehingga ada yang sanggup mencabar keabsahan dan kedudukan Undang-undang Syariah yang telah ada walaupun ianya hanya meliputi bidang kuasa yang sangat kecil berbanding Mahkamah Sivil.

Situasi ini seharusnya tidak berlaku jika umat Islam menyedari dan meletakkan matlamat kehidupan bertujuan mendapatkan keredhaan Allah S.W.T serta memahami Maqasid Syariah.

Justeru PAS Johor menggesa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama agar lebih tegas dalam menyampaikan maklumat dan lebih proaktif dalam mempertahankan kesucian Islam secara jelas kepada semua pihak.

Sebagai tanda sokongan dalam mempertahankan Mahkamah Syariah satu Himpunan Selamatkan Syariah akan diadakan pada 20 November 2023 pada pukul 9:00 pagi di Perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya. Semua pihak perlulah berganding bahu di dalam mempertahankan Mahkamah Syariah ini. 

“Adil, Prihatin dan Berkebajikan”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
29 Rabiul Akhir 1445
13 November 2023 – HARAKAHDAILY 13/11/2023

- Advertisement -