Kemajuan semikonduktor penting untuk negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dato’ Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) berkata, sektor semikonduktor mempunyai potensi besar menjelang tahun 2030 dengan unjuran mencapai nilai RM4.7 trilion.

Walaupun data pada tahun ini menunjukkan penurunan nilai eksport negara, katanya di peringkat antarabangsa, produk industri itu mendapat permintaan dan dijangka meningkat pada suku kedua 2024.

- Advertisement -

“Apakah perancangan kerajaan dalam pembangunan industri semikonduktor kerana Malaysia masih mempunyai kelebihan dalam industri semikonduktor.

“Oleh itu amat penting hubungan baik antara negeri dan Pusat yang dapat membantu dalam pembentukan dasar bagi mempercepatkan pertumbuhan industri itu,” katanya pada perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri di Dewan Rakyat, hari ini.

Ku Abd Rahman berkata, Malaysia mempunyai kelebihan dari segi ekosistem atau rantaian nilai yang kukuh dan tenaga kerja yang mahir.

Menurutnya, digitalisasi seperti pengkomputeran awan, kepintaran buatan dan Revolusi Perindustrian 4.0 menjadi pemangkin utama perkembangan tersebut.

Selain itu, katanya kerajaan perlu mempunyai perancangan bagi menghadapi cabaran, iaitu persaingan mendapatkan bakat yang telah dan sedang berlaku dalam industri semikonduktor.

“Negara masih kekurangan jurutera, saintis komputer dan data bagi menyokong pertumbuhan sekarang, lebih-lebih lagi menjelang tahun 2030, negara perlu memilik infrastruktur yang baik dan ekosistem kukuh.

“Bagi melahirkan tenaga kerja berkelayakan, sekolah di negara kita perlu fokus kepada pendidikan sains dan teknologi kejuruteraan dan matematik, manakala pelajar tingkat empat dan lima digalakan memilih subjek sains tulen,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/11/2023

- Advertisement -