Umno telah dirosakkan oleh pemimpinnya, sudah ‘expired’

- Advertisement -

KEMAMAN: Umno telah rosak secara sepenuhnya di bawah pimpinan yang terkini di mana tidak lagi meletakkan parti itu sebagai wadah perjuangan boleh dijulang dan dijunjung oleh orang-orang Melayu.

Bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, keputusan PRU15 dan PRN baru-baru ini jelas menunjukkan bahawa orang Melayu dan rakyat Malaysia telah menunjukkan bahawa Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah tidak relevan lagi.

“Kita bersyukur kerana orang Melayu dan umat Islam dalam apa juga keadaan, tidak mudah tercabut daripada pegangan bahawasanya kita memerlukan satu wadah perjuangan politik yang tulen.

“Yang istiqamah yang berpegang teguh kepada prinsip-prinsip yang tertentu yang tidak tercalar, tidak tercemar oleh dugaan-dugaan, kebendaan, pangkat dan sebagainya.

“Sebaliknya berpegang kukuh kepada hasrat untuk memastikan dalam negara ini penduduk kelompok teras, kelompok atas utama dapat disatukan menjadi suatu force politik di mana kita akhirnya menentukan sendiri nasib dan masa depan kita.

“Selagi negara ini mengamalkan proses demokrasi berparlimen, maka masa depan negara adalah ditentukan oleh kita sendiri,” ujarnya.

Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang baru dilantik ini berucap demikian dalam program Ceramah Perdana Pelancaran Jentera Perikatan Nasional (PN) PRK P.040 Kemaman di Padang Astaka Cukai, di sini malam tadi.

Menurut beliau, dalam pergolakan politik dunia, kaum atau bangsa yang pernah berkuasa, memerintah atau menjadi kelompok terkuat serta dijulang, akhirnya menjadi makanan dan ratahan orang-orang lain.

Sebalik kemudiannya orang-orang lain itu pula kata beliau, lebih mampu untuk membina dan menampil kekuatan mereka, bermakna orang Melayu hari ini tidak boleh mengandai akan kekal selama-lamanya berkuasa dan menguasai.

Melainkan ujarnya, gerakan politik yang berterusan diusahakan oleh kalaupun tidak semua, tetapi sebahagian daripada umat ini sebagai suatu tuntutan fardu kifayah yang wajib ke atas diri bagi menentukan corak dan masa depan sendiri. 

“Dalam soal inilah Umno telah pun sampai kepada tempoh ‘expired’ (tarikh luput) ataupun tempoh tamat hayatnya kerana pegangan pemimpin-pemimpin Umno. Umno ni dia buruk di kepala, dia punah di atas, dia selekeh di peringkat tauke dia.

“Bila dia tidak mempunyai pegangan perjuangan politik yang kukuh kepada pegangan agama, maka inilah yang terjadi bila akhirnya soal kebendaan, soal pangkat, soal diri, soal personaliti, soal individu diletak di hadapan. Tapi perjuangan ummah dikesampingkan. 

“Kebetulan ia terjadi sewaktu saya menjadi sebahagian daripada yang memimpin parti, yang menggerakkan parti, yang mentadbirkan parti waktu saya sebagai Setiausaha Agung dan saya anggota Jemaah Menteri.

“Secara jujur saya katakan orang-orang Umno sendiri tidak senang dengan pimpinan Umno dan Umno sekarang. Sebab itu orang Umno sendiri yang melakukan hijrah, orang Umno sendiri yang menolak Umno,” ujarnya.

Menurutnya, orang-orang Umno meninggalkan parti itu kerana hilang kepercayaan kepada pemimpin di mana mereka mengambil jalan mendahulukan matlamat perjuangan dan bukannya untuk menjaga mana-mana individu.

Kecuali katanya, beberapa kerat pemimpin Umno yang masih bersikap mendukung dan menyokong antara satu sama lain disebabkan menjaga kepentingan dan jawatan, sedang ia membawa kepada kemusnahan.

“Termasuklah yang di Kemaman ini. Orang putih kata ‘you scratch my back, I scratch your back’, ‘mu garu belakang aku, aku tolong garu, butir rantai punggung mu’ sambil nak mengangkat dan menjaga jawatan satu sama lain.

“Maka dia saling sokong, menyokong antara pemimpin. Walaupun mereka tahu pemimpin itu membawa Umno ke arah kehancuran,” ujar Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS itu. 

Tan Sri Annuar menegaskan, beliau menentang pendirian kepimpinan Umno apabila mereka lebih suka untuk bermusuh sesama parti-parti politik Melayu dan Islam, tetapi secara diam-diam memberikan sokongan kepada parti bertentangan.

Bidasnya, sokongan Umno kepada parti-parti sosialis dan sekular serta menolak asas yang menjunjung Islam serta bercanggah dengan pendirian umat Melayu, sebenarnya menjadi anai-anai meruntuhkan negara dan bangsa berteraskan Islam.

“Saya menjunjung berpegang teguh kepada semangat Muafakat Nasional yang telah dipersetujui, yang sedikit sebanyak telah membantu Umno bangkit. Sewaktu Umno jatuh tersungkur, PAS yang datang menghulur tangan. 

“Waktu Umno kalah di Putrajaya. PAS yang datang untuk memberikan nafas dan nyawa kepada Umno. Tetapi apabila Umno terasa kuat dia mahu meludah PAS dan dia mempersendakan, memperkecilkan PAS,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 11/11/2023

- Advertisement -
- Advertisement -