Deepavali: PAS ucap tahniah kepada penganut Hindu

Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan selamat sejahtera dan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Hindu sempena sambutan perayaan Deepavali bermula esok.

- Advertisement -

“Sebagai perayaan penting bagi bukan sahaja masyarakat beragama Hindu, tetapi juga bagi penganut agama Sikh dan Jain di negara ini, Deepavali adalah manifestasi kepelbagaian budaya dan kepercayaan masyarakat kita, sekali gus mempunyai tarikan dan signifikan tersendiri dalam pembentukan budaya besar Malaysia,” ujar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Deepavali yang berasal daripada perkataan Sanskrit dipavali membawa maksud ‘barisan cahaya’ adalah simbolisme kepada kemenangan cahaya mengatasi kegelapan.

Ia juga melambangkan perlawanan berterusan antara cahaya dengan kegelapan, kebenaran dengan kepalsuan, keadilan dengan kezaliman atau keluhuran dengan kehinaan dan kesudahannya yang pasti, iaitu kemenangan di pihak cahaya dan kebenaran.

Katanya, dalam keadaan itu dan sebagaimana semua agama dan kepercayaan lain, termasuk Islam, manusia digesa dan diingatkan supaya sentiasa berada di pihak cahaya dan kebenaran, sekali gus menolak kegelapan dan kepalsuan bagi merealisasikan kehidupan yang diberkati dan sejahtera.

Sempena sambutan tahun ini, ujarnya PAS berharap ia akan berjalan dalam suasana harmoni, lancar dan paling utama selamat, kepada semua pihak tanpa apa-apa insiden yang tidak diingini dan boleh membahayakan, khasnya di jalan-jalan raya yang kini sesak dengan kenderaan.

“Mudah-mudahan semua doa dan harapan baik yang mengiringi sambutan ini akan tertunai dan menambah kepada kebaikan bersama rakyat dan negara kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimn Kota Bharu. – HARAKAHDAILY 11/11/2023

- Advertisement -