Media perlu dedah Hamas bukan pengganas

- Advertisement -

KOTA BHARU: Agensi media di negara ini perlu melaporkan siapa sebenar Hamas yang dilabel sebagai pengganas oleh Barat, sedangkan mereka mempertahankan tanah air dan hak sendiri.

- Advertisement -

Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassruddin Daud berkata, media massa perlu memperbetulkan situasi itu kerana ia dipandang negatif oleh masyarakat bukan Islam.

Katanya, Barat menggambarkan kononnya Israel pejuang keadilan, kebebasan dan kemanusiaan, namun apa yang berlaku di Gaza, bumi Gaza sedang dihancurkan mereka.

Menurutnya, Zionis Israel melakukan jenayah perang yang tidak boleh dimaafkan sehingga menyalahi undang-undang perang antarabangsa.

“Bukan hanya Islam melarang membunuh kanak-kanak, wanita, warga emas, rumah ibadat dan ketua-ketua agama termasuk bukan Islam, tetapi juga bertentangan dengan undang-undang.

“Zionis Israel dan sekutunya melanggar undang-undang dengan mengganas sehingga menyerang hospital, kem pelarian dan rumah ibadat tanpa henti,” katanya pada majlis Malam Mahabbah Media Nersama Pimpinan Kerajaan Kelantan di sebuah hotel malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohamed Fadzli Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Mohd Asri Daud dan anggota-angota Exco kerajaan negeri.

Selain itu Timbalan Pengarah Urusetia Penerangan dan Komunikasi Riduan Awang Hamad dan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI) Majidah Ismail.

Menurut Menteri Besar akibat kejahatan tidak berperikemanusiaan Zionis Israel, rakyat Palestin kini hidup tanpa kemudahan asas dan keperluan makanan tidak mencukupi.

“Sebarkan kepada dunia, Hamas bukan penjenayah tetapi Zionis Israel dan sekutunya punca segala kerosakan itu,” ujarnya.

Sempena program terbabit Mohd Asri menyerah sumbangan kepada wakil Cakna Palestin yang disumbangkan orang ramai di Kelantan. – HARAKAHDAILY 6/11/2023

- Advertisement -