Ulamak, As-Sabiqun selaras gerak kerja hadapi PRK Kemaman

Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek
- Advertisement -

KEMAMAN: Dewan Ulamak dan As-Sabiqun PAS Kawasan Kemaman mengambil pendekatan bersama untuk mendekati masyarakat dalam melaksanakan gerak kerja menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan, Ustaz Nik Muhammad Nasri Nik Malek berkata, menerusi sektor al-malak, golongan ulama muda dan as-sabiqun mengambil pendekatan yang sesuai untuk mendekati masyarakat terutama golongan berusia.

Sehubungan itu, ujarnya Himpunan Jentera Pilihan raya Ulamak dan As-Sabiqun PAS kawasan telah diadakan semalam bagi menyelaras gerak kerja tersebut.

“Tujuan himpunan itu adalah untuk membuat persiapan awal bagi menghadapi PRK Parlimen Kemaman yang akan diadakan pada 2 Disember nanti.

“Himpunan itu merupakan persediaan kepada gelombang pertama yang akan bermula 5 November (esok) dalam mengatur dan menyelaras gerak kerja PRK,” ujarnya ketika ditemui di Kampung Besut, di sini hari ini.

Tambahnya, selepas ini akan diselaraskan jawatankuasa untuk melaksanakan gerak kerja PRK Parlimen Kemaman yang melibatkan anggota dewan ulamak kawasan.

Beliau berkata, gerak kerja akan mengikut apa yang pernah dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN lepas.

Pada program semalam, beliau menekankan peranan mereka yang terlibat dalam perjuangan Islam dengan memetik ayat 95 daripada surah An-Nisa’ yang bermaksud: “Tidaklah sama keadaan orang-orang yang duduk (tidak turut berperang) dari kalangan orang-orang yang beriman – selain daripada orang-orang yang ada keuzuran – dengan orang-orang yang berjihad (berjuang) pada jalan Allah (untuk membela Islam) dengan harta dan jiwanya. Allah melebihkan orang-orang yang berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang kerana uzur) dengan kelebihan satu darjat. Dan tiap-tiap satu (dari dua golongan itu) Allah menjanjikan dengan balasan yang baik (syurga), dan Allah melebihkan orang-orang yang berjuang atas orang-orang yang tinggal duduk (tidak turut berperang dan tidak ada sesuatu uzur) dengan pahala yang amat besar”.

Program tersebut dirasmikan oleh Setiausaha Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Abdullah Suhaimi Zakaria yang mewakili ketua dewan itu, Ustaz Ismail Osman. Turut hadir ialah Setiausaha Lajnah Politik dan Pilihan raya Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Ibrahim Baharuddin. – HARAKAHDAILY 4/11/2023

- Advertisement -