Kerajaan perlu tegas tangani kekejaman Israel

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyatakan pendirian tegas serta tindakan yang dilakukan untuk memastikan kekejaman rejim Zionis Israel di Palestin dapat dihentikan.

Ustaz Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, negara perlu mengambil tindakan terhadap kekejaman yang dilakukan termasuk membunuh serta memusnahkan kemudahan termasuk Hospital.

- Advertisement -

Malah beliau yang juga Ketua Penerangan PAS berkata, terdapat cadangan penduduk dunia agar Perdana Menteri Israel dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap jenayah yang dilakukan di Palestin.

“Minta Menteri Luar Negeri menyatakan mengapa kerajaan masih belum menyatakan pendirian dan tindakan yang lebih tegas dalam konflik Palestin dan Israei.

“Ini termasuk mendesak agar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa,” katanya pada Sesi Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Luar Negeri, Senator Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata pendirian Malaysia dalam krisis tesebut sangat jelas memperjuangkan isu Palestin sejak dahulu lagi.

Mengenai desakan agar Benjamin Netanyahu dihadapkan ke ICC, beliau menjelaskan kekejaman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Israel itu sudah berada dalam pengetahuan mahkamah tersebut.

Menurutnya, Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa merupakan perjanjian untuk menubuhkan ICC yang dianggotai oleh 123 buah negara dunia, termasuk Palestin yang menyertainya pada 2015.

“Hasil perbicaraan pendakwaraya ICC telah mengumumkan pada Mac 2021 untuk membuka siasatan keatas situasi ini dan dakwaan jenayah dilakukan oleh Israel pada 13 Jun 2014 tanpa ada tempoh tamat.

“Justeru situasi ini sudah pun dalam proses siasatan ICC, kita bekerjasama dengan negara Islam lain untuk merujuk isu kekejaman ini bukan sahaja ke ICC malah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),” katanya. – HARAKAHDAILY 26/10/2023

- Advertisement -