Presiden PAS tegur PM baca ayat al-Quran tidak lengkap

Gambar Jabatan Penerangan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menegur Perdana Menteri ketika pembentangan Belanjawan 2024 kerana membaca ayat al-Quran yang tidak lengkap.

Beliau berkata, Ahli Parlimen Tambun hanya mengambil Ayat 77 Surah al-Qasas yang tidak memenuhi mesej yang hendak disampaikan.

- Advertisement -

Katanya, ayat itu menceitakan kisah umat Nabi Musa, Qarun mempunyai kekayaan yang melimpah ruah sehingga anak-anak kunci gedung hartanya dipikul oleh lelaki gagah perkasa.

“Saya ingin merujuk ayat al-Quran yang dibaca oleh Tambun dalam membentangkan Belanjawan 2024, iaitu Ayat 77 Surah al-Qasas, sepatutnya ditambah dengan ayat 76 terlebih dahulu.

“Ini agar dapat dilengkapkan maksud dia, kalau tidak jadi tidak lengkap seperti pakai kasut sebelah,” katanya ketika perbahasan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.

Presiden PAS menjelaskan bahawa walaupun Qarun mempunyai kekayaan luar biasa, dia berlaku zalim kepada rakyat sedangkan harta kekayaan miliknya merupakan kurniaan Allah.

Menurutnya, situasi tersebut masih lagi pada masa sekarang dengan kewujudan golongan yang dikenali sebagai kartel yang mengumpul kekayaan dengan cara yang salah, rasuah, riba dan menzalimi rakyat.

Akibat tindak tanduk individu terbabit, katanya negara dirudum kadar inflasi yang tinggi sehingga membebankan kehidupan rakyat akibat kenaikan harga barangan keperluan harian.

“Dalam masa melakukan kezaliman kepada rakyat menaikkan harga keperluan menjadi kartel macam kartel daging, beras dan sebagainya menyebabkan rakyat terbeban dengan kenaikan harga.

“Orang yang macam Qarun masih ramai dan kerajaan mesti bertindak terhadap mereka yang macam Qarun ini, jangan takut atau kerajaan rasa malu kerana menjadi penyumbang,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/10/2023

- Advertisement -