SHAH ALAM: Al-Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin dalam reaksi spontannya telah menggamatkan suasana di dalam dewan tempat berlangsungnya Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di IDCC Shah Alam, di sini.
Semua pihak tidak dapat menahan ketawa apabila beliau yang cuba menyampaikan sesuatu pesanan kepada Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, namun mendapati tidak berada di kerusinya di pentas.
“Dia lari pi ke mana? Dia kuat mengata kat orang hari ni saya memang jadikan dia sasaran. Insya-Allah. Tapi malang dia tak dak. Tolong pi cari. Dia pi cari ‘Pudin’ kut?” ujarnya difahami merujuk kepada Dato’ Seri Saifuddin Nasution.
Menyatakan diri sebagai orang tua dan Sanusi masih muda, beliau menyifatkan tatkala umat sedang berkemelut, Allah SWT menghantar manusia seperti Sanusi yang mempunyai pandangan, hujah dan menyelesaikan beberapa perkara.
Perkara tersebut bahkan katanya, diakui oleh musuh-musuh ketat Sanusi sendiri dan daripada hanya anak kampung telah melonjak kemasyhurannya dengan menonjolkan banyak perubahan di Kedah.
“Saya nak sebut. Bukan saya nak ulang, saya nak sebut Allah bagi kat dia cerdik. Dia mengaku dia cerdik. Dia mengaku dia berani. Dia mengaku dia pandai politik. Hat itu yang saya tak setuju.
“Dia tak payah katalah dia cerdik, orang mengaku dah dia cerdik. Tak payah kata dia berani, semua orang kata dia berani. Orang lain kalau sebut Sanusi cerdik, Sanusi berani, lebih tinggi lebih naik darjat dia naik ke atas, daripada dia sebut aku berani, aku cerdik.
“Tapi kelemahan ini dia memang cerdik dia tarik diri daripada bertanding Naib Presiden, dengan sendiri melonjakkan dia naik balik ke atas, itu hebat orang cerdik ni. Dan saya minta lain kali tak payah duk puji diri. Orang dah duk puji dah di mana-mana.
“Kami sayang Sanusi, kami sedia berkorban untuknya dan mengikut apa parti yang dipegang. Cukuplah setakat itu,” ujarnya bercerita.
Beliau dalam ucapannya itu turut membawa beberapa cerita teladan mengenai usaha-usaha pimpinan PAS di masa lalu hingga dapat meraih kejayaan yang dinikmati generasi hari ini.
Beliau juga menyatakan contoh tokoh-tokoh Sahabat RA yang dihadirkan Allah dalam memperkuatkan Islam selain mengingatkan seluruh ahli agar mematuhi tanpa mendahului pimpinan.
Selain itu, Tuan Guru turut berpesan agar menjauhi unsur perpecahan, sebaliknya mesti ada yang menjadi pendamai andai wujud tindakan mahu memecah-belah sesama jemaah. – HARAKAHDAILY 22/10/2023
‘Sanusi lari pi ke mana, dia pi cari Pudin kut?’
- Advertisement -