SG4: Perkukuh peranan kerjasama, tak perlu politikkan

- Advertisement -

SHAH ALAM: ‘State-Government 4’ (SG4) membabitkan Kerajaan Negeri Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis diwujudkan bagi mengadakan kerjasama dalam memperkukuhkan peranan antara negeri tersebut.

Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keempat-empat negeri tersebut mempunyai kedudukan geografi dan keupayaan yang tidak sama, sekali gus bersedia saling membantu.

Jelasnya, hubungan kerjasama tersebut bukan hanya dalam bidang pelaburan, tetapi juga urusan lain di mana SG4 melibatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat.

“Apabila kita bercakap mengenai pelaburan, urusan kerja ini bukan hal negeri semata-mata tetapi semua memerlukan kerjasama di antara negeri dengan Kerajaan Pusat melalui pelbagai agensi.

“Ada di bawah MITI (Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri) dan ada agensi seperti MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia), ada Pihak Berkuasa Koridor Wilayah. Semua ini adalah entiti-entiti bawah Persekutuan dan Negeri.

“Memerlukan kerjasama di antara keduanya dan ini sedang berjalan sejak sekian lama dan banyak pencapaian pun yang telah kita perolehi di semua negeri-negeri yang terlibat,” ujarnya di Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-69 di IDCC, di sini sebentar tadi.

Maklum beliau, Tun Mahathir telah melakukan banyak libat urus bersama dengan negeri-negeri ini dan telah dikunjungi serta diadakan perbincangan termasuk bertemu para pelabur daripada negara luar terutama Jepun, Korea dan China. 

“Saya difahamkan selepas ini daripada Timur Tengah dan sudah ada sebenarnya pelabur-pelabur yang menghubungi melalui beliau,” jelasnya pada sidang media bersama Menteri Besar Kelantan, Kedah dan Perlis.

Menurut Dr Samsuri, kerjasama empat negeri itu juga adalah sebagai nilai tambah kepada kerjasama sedia ada dengan Kerajaan Pusat di mana mereka memfokuskan kepada lima kluster.

Iaitu maklumnya, melibatkan kluster infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan perniagaan; pertanian dan sekuriti makanan; perundangan dan modal insan; serta sumber pendapatan baharu.

Menjawab pertikaian mengenai pelantikan Tun Mahathir sebagai penasihat, jelas beliau peranan itu dilakukan secara ‘pro bono’, bahkan SG4 terbuka menerima sesiapa untuk memberi pandangan.

Beliau juga berharap perkara tersebut tidak dipolitikkan walaupun banyak pihak di negara ini suka mempolitikkan sesuatu setiap masa; pagi petang, siang malam dan 24 jam, sedangkan SG4 mahu bergerak ke depan.

“Saya sebut (kepada Perdana Menteri) kita berdepan dengan pelbagai isu dalam negara kita untuk menyelesaikan untuk menangani isu-isu yang berbagai-bagai ini. Pendekatan yang sekian lama kita amalkan dalam negara kita ini, kita kena tangani, kita lihat balik. 

“Ada perkara yang perlu non-partisan, non-political tetapi komitmen ataupun cooperation dari pelbagai pihak,” serunya mengajak menunaikan kewajipan kepada rakyat.

Kerjasama SG4 juga disifatkan beliau adalah sepertimana juga kerjasama kumpulan negara yang wujud seperti G7, G8, D20 dan blok ekonomi seperti BRICS serta lain-lainnya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -