Juarai isu anak muda, rangka dakwah non-Muslim

- Advertisement -

SHAH ALAM: Jentera Pemuda, Muslimat dan Pendukung PAS perlu memastikan agar masing-masing menguasai dan menjuarai setiap isu anak muda sebagaimana segmen itu telah memberi sokongan kepada Perikatan Nasional (PN).

Perwakilan PAS Wilayah Persekutuan, Azmer Syazwan Ahmad Suparmin berkata, golongan anak muda mesti disantuni oleh jentera PAS dan tidak dibiarkan hanyut dalam dunia mereka sahaja.

Terutama ujarnya, dengan memastikan normalisasi maksiat tidak berlaku dalam kalangan anak muda sebaliknya dibimbing kepada cahaya Islam dan kebajikan serta pelbagai aktiviti dan pemerkasaan program kemasyarakatan.

“Dalam hal ini, Wilayah Persekutuan mencadangkan agar Dewan Muslimat menjuarai isu wanita dan keluarga. Sebagai contoh, kadar perceraian dalam kalangan pasangan muda pada hari ini agak membimbangkan,” ujarnya.

Beliau turut menyeru agar menggerakkan agenda perpaduan Nasional melalui slogan ‘Islam For All’ bagi meluaskan lagi usaha mendekati golongan masyarakat bukan-Islam di negara ini.

Hal tersebut tegasnya, memandangkan Wilayah Persekutuan mempunyai banyak kawasan yang majoriti penduduknya adalah bukan-Muslim di mana dakwah berstrategi mesti dirangka secara khusus.

“Ini bagi menembusi kawasan-kawasan tersebut dan memecahkan dominasi DAP dari terus menyebarkan dakyah songsang mereka. Hanya dengan dakwah mereka akan tertarik dan memeluk Islam serta dapat memberikan mereka kefahaman untuk kesejahteraan hidup.

“Bukan sahaja di dunia, malah sampai akhirat sekali gus. Oleh yang demikian, kami mencadangkan PAS untuk merangka satu model dakwah khusus kepada non-Muslim dengan uslub dakwah yang berkesan dalam berhujah ataupun berhikmah.

“Kemudian diterapkan pula bersama kefahaman nilai-nilai haraki dan perjuangan. Sudah tiba masanya kita mengkaderkan para da’i, menggilap tokoh-tokoh PAS yang komited untuk mengislamkan non-Muslim.

“Iaitu dengan menghayati tentang kepentingan negara Islam. Kita mengharapkan bakal-bakal saudara baru hasil rangkaan PAS ini dapat melahirkan lebih ramai Khalid Al-Walid, Umar al-Khattab Ikrimah bin Abu Jahal dan Abu Sufyan.

“Yang dahulunya membenci Islam, memusuhi Islam, takut Islam, tetapi setelah mereka memeluk Islam merekalah terpaling ke hadapan membela, berkorban nyawa dan harta demi menegakkan kalimat Ilahi.

“Wilayah Persekutuan juga mencadangkan agar buku berjudul ‘Seribu Tahun Hubungan Harmoni Antara Islam, Cina dan Alam Melayu, karangan Ustaz Azhar Yahaya, Pesuruhjaya PAS Wilayah boleh jadikan rujukan,” promosinya. – HARAKAHDAILY 21/10/2023

- Advertisement -
- Advertisement -