Kehadiran Tun Mahathir jadi tumpuan muktamar PAS

- Advertisement -

SHAH ALAM: Kehadiran mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengejutkan perwakilan dan pemerhati PAS yang memenuhi Dewan IDCC di sini, hari ini.

Kehadiran beliau sebagai tetamu kehormat diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, pada majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Pusat Ke-69.

- Advertisement -

Ini mencatat sejarah apabila kali pertama, bekas Perdana Menteri sebanyak dua kali itu menjadi tetamu kehormat di muktamar PAS.

Kehadiran Dr Mahathir disambut Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang serta seluruh Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan dijemput berada di pentas utama.

Bekas Presiden Pejuang itu, baru-baru ini dilantik sebagai Penasihat SG4 (‘State-Goverment 4), iaitu empat negeri ditadbir oleh PERIKATAN NASIONAL (PN) – Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

Dr Mahathir antara tokoh yang gigih mempertahankan hak orang Melayu, selain berpengalaman luas mengurus negara bagi suatu tempoh yang lama.

Bekas Ahli Parlimen Langkawi itu pernah memimpin Bersatu dan bersama blok Pakatan Harapan (PH) menerajui Malaysia selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Namun pada Februari 2020, beliau keluar dari Bersatu dan kini mempunyai hubungan rapat dengan PN. – HARAKAHDAILY 20/10/2023

- Advertisement -