Kemenangan PN di Kedah hasil penyatuan ummah

Nor Atiqah Sharif
- Advertisement -

SHAH ALAM: Kemenangan PERIKATAN NASIONAL (PN) di Kedah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos lalu, merupakan hasil penyatuan ummah yang telah dimulakan sebelum ini.

- Advertisement -

Perwakilan Dewan Muslimat PAS Kedah, Nor Atiqah Sharif berkata, hasil kerjasama politik dan kesatuan ummah, PN Kedah mampu memperolehi 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) yang dipertandingkan.

“PAS Kedah telah mengalami pelbagai ujian dalam proses penyatuan ummah menuju kemenangan ini, hadiah kemenangan di Kedah adalah satu usaha rentetan penyatuan ummah yang panjang, semoga mendapat redha Ilahi,” tegasnya semasa menyampaikan ucapan penangguhan sempena Muktamar Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) kali ke 63 di sini, hari ini.

Namun ujarnya, penyatuan ummah bukan sahaja ketika proses menuju kemenangan, malah lebih penting  untuk memastikan keteguhannya berterusan.

Memetik kata-kata Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Konvensyen PAS Kedah 30 September lalu, kata Atiqah, kaedah mengisi kemenangan perlu diberi perhatian.

Antara yang disebut Presiden PAS itu tambahnya adalah berkenaan sifat rabbani, tegakkan ekonomi, amar makruf dan nahi munkar untuk mendaulatkan syariat.            .

Selain itu jelasnya lagi, kesungguhan menambah keahlian PAS juga antara usaha mencapai dan mengekalkan kemenangan.

“Almarhum, Dato’ Ustaz Fadzil Mohd Nor, pernah menyebut untuk melihat PAS dapat memerintah negara, Kedah perlu meletakkan target keahlian PAS sekurang-kurangnya 200,000 orang.

“Jumlah berkenaan adalah sebagai satu tanda aras menuju kemenangan,” tegasnya lagi.

Justeru, beliau menyeru kepada semua muslimat untuk sama-sama menyahut seruan menambah keahlian PAS dan cawangan muslimat sebagai usaha mencapai kemenangan selain memperkemaskan agenda penyatuan ummah.

Usaha gigih berterusan itu, katanya mampu merealisasikan kata-kata Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa pada 2050 akan ada Perdana Menteri Malaysia dari kalangan pemimpin PAS.

Sempena muktamar yang diadakan di IDCC, Shah Alam kali ini, Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Kedah itu mengajak semua hadirin memberi sokongan padu kepada solidariti rakyat Palestin yang dibantai kejam oleh puak zionis Israel yang zalim. – HARAKAHDAILY 19/10/2023

- Advertisement -