Kesesakan penjara makin meruncing

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menjelaskan mengenai masalah kesesakan di penjara yang dilaporkan semakin meruncing dengan sebahagian besar membabitkan banduan yang dipenjarakan kerana kesalahan dadah.

Sehubungan itu, Dato’ Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) berkata, kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) perlu merangka langkah bagi menangani masalah itu.

- Advertisement -

Selain itu, beliau meminta kerajaan menyatakan program latihan yang dijalankan kepada banduan bagi membolehkan mereka dapat meneruskan kehidupan selepas selesai menjalani hukuman penjara.

“Minta Menteri Dalam Negeri menyatakan langkah yang diambil oleh kementerian bagi mengatasi isu kesesakan banduan di penjara.

“Apakah program yang dikenal pasti untuk membantu bekas banduan untuk tidak terjebak kembali dalam dunia jenayah,” katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Saifudin Nasution berkata, daripada 40 penjara di seluruh negara, hanya 13 buah yang melebihi kapasiti penghuni.

Beliau berkata, sebanyak 15 penjara lagi di bawah kapasiti, termasuk penjara baharu di Lahad Datu, Sabah, sementara 12 lagi kapasiti sudah penuh.

“Kita ada 40 buah penjara yang mampu menampung 71,476 orang, tetapi jumlah penghuni sekarang 75,629 orang, iaitu lebihan 4,513 orang atau 5.8 peratus.

“Jika mengikut standard antarabangsa, lebihan banduan tidak boleh melampau, iaitu melebihi 20 peratus dianggap kadar boleh toleransi lagi, kita hanya 5.8 peratus,” katanya.

Mengenai program yang dikenal pasti untuk membantu bekas banduan supaya tidak terjebak kembali dalam dunia jenayah, katanya kerajaan memberi penekanan terhadap aspek latihan kemahiran.

Katanya, ini dilakukan dengan kerjasama beberapa pihak seperti Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Sejak 2012 hingga kini, 16,000 penghuni penjara keluar dengan sijil kemahiran agar mereka ada jaminan peluang pekerjaan selepas keluar penjara.

“Pihak penjara juga menjalinkan kerjasama dengan 325 syarikat bagi banduan parol dan pembebasan berlesen, mereka pergi kerja dapat gaji bulanan dan tidak di penjara,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/10/2023

- Advertisement -