‘Jangan biarkan Ustaz Fatah seorang diri’

- Advertisement -

PORT DICKSON: PAS Kawasan Port Dickson yang sebelum ini dipanggil sebagai Teluk Kemang pernah lumpuh apabila berlaku krisis dalaman parti itu pada tahun 2015, kata Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Md Zin.

- Advertisement -

Menurut beliau, peristiwa tersebut yang berlaku di seluruh negara telah menyebabkan tertubuh PAN yang kemudiannya bersama dengan Pakatan Harapan (PH) menentang PAS.

“Apabila berlaku saja isu PAN, Teluk Kemang ini berapa orang saja yang tinggal. Alhamdulillah, Ustaz Fatah (Adun Bagan Pinang), bersama beberapa orang rakan, Ustaz Mahfuz (Naib Yang Dipertua), dapat mengambil alih dan sama-sama mencapai kemenangan pada hari ini

“Inilah rentetan-rentetan perjuangan di Bagan Pinang. Saya duduk dalam Dewan Pemuda sampai tahun 2013. Lepas tu saya balik kampung di Paroi,” ujarnya yang juga Adun Paroi berkata demikian ketika berucap merasmikan Pusat Khidmat bagi Adun Bagan Pinang, Ustaz Fatah Zakaria, di sini, malam tadi.

Beliau mengimbau pelbagai kisah-kisah pahit manis perjuangan PAS di kawasan ini sehingga ada aktivis yang dipukul ketika berkempen dan ada yang masuk lokap.

Tambahnya, PAS kawasan banyak mengajar beliau tentang perjuangan di dalam PAS pada peringkat awal semasa masih muda.

Menurut Kamarul, di kawasan itulah beliau mengenali Ustaz Fatah dan pernah bersama-sama sebagai ahli jawatankuasa PAS ketika itu.

“Sekarang sama-sama pula duduk bersama Ustaz Fatah, empat hari lepas kami baru masuk persidangan Dewan Undangan Negeri.

“Baru tahu macam mana nak berbahas, macam mana nak keluarkan usul. Itu baru nak belajar, sesi yang pertama,” ujarnya.

Beliau juga menyeru agar semua aktivis PAS terus bekerja untuk memastikan kemenangan yang dikecapi dapat dikekalkan dan merampas Dun yang masih dipegang oleh PH dan BN.

“Yang paling penting yang ada depan saya ni kena bantulah Pusat Khidmat, jangan biarkan Ustaz Fatah seorang diri,” ujarnya.

Perasmian Pusat Khidmat ADUN Bagan Pinang disempurnakan oleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Ustaz Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh. – HARAKAHDAILY 14/10/2023

- Advertisement -