Pelapor PBB selar sikap bermuka-muka EU

- Advertisement -

GENEVA: Kesatuan Eropah (EU) menghadapi kritikan yang semakin meningkat berikutan sikap bermuka-muka berhubung konflik Israel-Palestin dan kenyataan masa lalu yang menyokong Ukraine.

Dalam tempoh beberapa hari lalu selepas serangan mengejut pejuang Hamas terhadap Israel, Presiden Suruhanjaya Eropah. Ursula von der Leyen berkata: “Israel mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya – hari ini dan pada hari-hari yang akan datang, EU berdiri teguh bersama Israel.”

- Advertisement -

Sejak kenyataan, Israel mengenakan sekatan sepenuhnya di Semenanjung Gaza, menyekat bahan api, air, elektrik dan bekalan makanan. Satu-satunya loji janakuasa Gaza ditutup pada Rabu lalu selepas kehabisan bahan api.

Ini menyebabkan komen Von der Leyen sebelum ini mengenai tindakan serupa yang dilakukan oleh Rusia di Ukraine muncul kembali.

Pada Oktober 2022, Von der Leyen berkata serangan Rusia terhadap infrastruktur awam, terutama elektrik di Ukraine sebagai jenayah perang.

“Menghalang lelaki, wanita, kanak-kanak dari air, elektrik dan pemanasan ketika musim sejuk – ini adalah tindakan keganasan tulen,” katanya pada masa itu.

Komen-komen tersebut kini jauh berbeza dengan pendirian EU yang tidak berbelah bahagi memihak kepada Israel yang menyerang penduduk Palestin.

Israel sejak itu melancarkan kempen pengeboman besar-besaran untuk menghukum penduduk Gaza yan didiami lebih dua juta orang, menyebabkan kemusnahan meluas dan meratakan seluruh kawasan kejiranan.

Pelapor khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Wilayah Palestin yang Diduduki, Francesca Albanese (gambar di bawah), menggesa Presiden Suruhanjaya Eropah di platform media sosial X (sebelum ini dikenali sebagai Twitter) membuat “pengisytiharan yang sama seperti Rusia terhadap kempen Israel di Gaza.

“Jika tidak, orang boleh berfikir bahawa institusi Eropah tidak menghargai perlindungan kanak-kanak, wanita dan lelaki Palestin sama seperti penduduk Ukraine,” kata Albanese.

Menurutnya, penting untuk membuat kenyataan demikian kerana ia bermaksud “memberi makna penuh kepada kesejagatan hak asasi manusia dan kesaksamaan semua manusia, untuk membolehkan rakyat Israel dan Palestin hidup dalam maruah dan kebebasan”.

“Tindakan politik bermuka-muka mencemar nilai dan prinsip kedaulatan undang-undang yang menjadi asas kepada ketertiban antarabangsa kita,” tambah Albanese.

“Saya memahami empati dan solidariti penuh bersama rakyat Israel pada masa yang tragis ini, namun saya tidak faham kekurangan empati yang setimpal terhadap rakyat Palestin, serta kekurangan akauntabiliti terhadap pendudukan berlarutan Israel dan jenayah yang dilakukan selama lebih 56 tahun,” kata Albanese.

Diapit oleh Israel dan Mesir di pantai Mediterranean, Semenanjung Gaza adalah kawasan seluas kira-kira 365 kilometer persegi dan merupakan antara kawasan paling padat penduduk di dunia. Hampir separuh daripada penduduk berumur di bawah 18 tahun.

Lebih 60 peratus rakyat Palestin di Gaza adalah pelarian, berikutan pengusiran keluarga mereka dari kawasan lain di Palestin pada 1948 apabila Israel dicipta.

Pada tahun 2005, Israel menempatkan kira-kira 8,000 pendatang haram Yahudi dan tentera Israel yang tinggal di 21 penempatan di sekitar Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Pada 2005, Israel menempatkan kira-kira 8,000 pendatang haram Yahudi dan tentera Israel yang tinggal di 21 penempatan di sekitar Gaza dan Tebing Barat yang diduduki.

Namun pada 2007, berikutan kemenangan Hamas dalam pilihan raya di Gaza, Israel bertindak balas dengan mengenakan sekatan udara, darat dan laut di semenanjung itu.

Susulan serangan mengejut Hamas pada hujung minggu lalu, sekurang-kurangnya 1,300 warga Israel terbunuh serta kira-kira 100 warga Israel dan warga asing ditahan dan dibawa ke Semenanjung Gaza oleh pejuang Palestin, kerugian paling teruk dialami Israel dalam tempoh setengah abad.

Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berkata, tindak balas Israel akan “mengubah Timur Tengah”.

Tentera Israel bertindak balas dengan menghujani serangan udara bertubi-tubi di Semenanjung Gaza minggu ini, membunuh sekurang-kurangnya 1,400 orang, kebanyakan wanita dan kanak-kanak.

Terdapat kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat Palestin di Gaza bahawa perubahan boleh berlaku dalam bentuk pengulangan Nakba atau mala petaka dalam bahasa Arab, perpindahan besar-besaran Palestin pada 1948, jika beribu-ribu melarikan diri dari kawasan yang dikepung dan menyeberang ke Mesir. – MEE

- Advertisement -