GAMIS kemuka cadangan untuk Belanjawan 2024

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (GAMIS) mengemukakan pelbagai cadangan untuk dimasukkan dalam pembentangan Belanjawan 2024 yang bakal dibentangkan esok.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, cadangan tersebut disampaikan melalui memorandum yang GAMIS hantar pada hari ini yang mewakili suara golongan muda.

- Advertisement -

Katanya, cadangan berkenaan merupakan perkara yang sangat penting untuk diberikan perhatian oleh kerajaan dan akan cuba dibawa ke dalam Dewan Rakyat.

“Antara perkara yang dicadangkan oleh GAMIS ialah bantuan e-Tunai Belia Rahmah untuk golongan berumur 18 tahun ke 20 tahun atau pelajar IPT sepenuh masa dinaikkan kepada RM300,

“Ini diikuti dengan bantuan Prihatin Rakyat untuk orang bujang berusia 21 tahun ke atas yang berpendapatan RM2,500 ke bawah dinaikkan kepada RM450 daripada RM350,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pendang, Datuk Awang Hashim dan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) berkata, GAMIS turut menyentuh isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), iaitu pembiayaan pinjaman PTPTN dinaikkan daripada 75 peratus kepada 100 peratus untuk pelajar dalam kategori M40.

Katanya, ini termasuk tawaran diskaun bayaran balik PTPTN sekurang-kurangnya 17 peratius, 15 peratus dan 12 peratus, masing-masing untuk kaedah pembayaran balik secara penuh separuh daripada potongan gaji,” ujarnya.

Sementara itu, katanya GAMIS mencadangkan supaya pas perjalanan tanpa had RM50 sebulan diperluaskan meliputi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang telah dinaik taraf bagi memudahkan pelbagai pihak untuk bergerak ke pelbagai lokasi.

“Ini selaras dengan tujuan kerajaan ke arah mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca bersih sifar menjelang 2050,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2024 memandangkan ia merupakan perkara yang boleh dilakukan dalam menghadapi kenaikan kos sara hidup sekarang. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -