Pelangai jadi titik perubahan peneroka di Pahang

Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man
- Advertisement -

BENTONG: Pembangunan dan pengurusan Felda perlu disusun semula bagi mengelakkan masyarakat peneroka terus terpinggir daripada arus kemajuan.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sekiranya parti lama masih menguasai kerajaan, kehidupan peneroka tidak banyak berubah.

“Contohnya isu pemilikan tanah generasi kedua dan ketiga selepas kematian ibu bapa mereka dari segi faraid akan menjadi masalah besar kepada peneroka.

“Ditambah pula hutang peneroka masih belum selesai. Sebab itu kita minta data lengkap mengenai hutang peneroka Felda supaya dapat tahu berapa jumlah hutang,” katanya pada ceramah di Bilik Operasi PN Felda Chemomoi malam tadi.

Hadir sama Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat Dato’ Ahmad Yahaya dan Pesuruhjaya PAS Melaka Tuan Guru Zulkifli Ismail.

Tuan Ibrahim yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, setiap bulan pendapatan dipotong sebagai bayaran hutang yang sambung menyambung dari generasi ke generasi.

Oleh itu katanya Pilihan Raya Kecil (PRK) Pelangai hendaklah menjadi titik tolak ke arah perubahan warga peneroka di Pahang.

“Pengundi di Pelangai perlu memberi mandat kepada PN sebagai permulaan ke arah perubahan. Kalau kita kekal dengan parti lama, tiada apa-apa perubahan, jika nak lihat perubahan kena ada keberanian untuk berubah.

“Kuasa perubahan berada di tangan tuan-tuan sebagai pengundi,” katanya yang juga Adun Cheka. – HARAKAHDAILY 4/10/2023

- Advertisement -