Bekas menteri tuntut penyebar fitnah mohon maaf

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Bekas Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin meminta penyebar fitnah yang mendakwanya terlibat dengan rasuah kononnya projek rundingan terus bernilai RM80 juta tampil memohon maaf.

- Advertisement -

Menerusi rakaman video berdurasi tiga minit di akaun TikTok miliknya, beliau menegaskan tuduhan yang dilemparkan itu sangat besar dan boleh menjejaskan imejnya.

“Ini satu fitnah yang besar dan kepada penyebar, anda mungkin gembira kerana ia sudah tular tetapi itu gembira sekadar di dunia, tetapi jawablah di akhirat nanti,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menjelaskan, isterinya, Datin Balkis Zakaria bukan keturunan kerabat diraja atau pun Tengku sebagaimana yang didakwa.

“Nama isteri saya, Balkis binti Datuk Syeikh Haji Zakaria bin Ahmad Wan Besar. Kalau sahabat-sahabat di Kedah, pasti mengenali salah seorang ulama besar yang menerbitkan buku dan kerap bersiar di radio ketika itu.

“Malah dia juga tidak pernah terlibat dalam sebarang urusan kementerian,” katanya.

Tambahnya, sebagai contoh, sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila ditanya mengenai tarikh sekolah akan dibuka, beliau meminta isterinya menunggu pengumuman di TV.

“Ini adalah contoh bahawa kami tegas dan tidak ada penglibatan isteri saya langsung,” tegasnya.

Sehubungan itu Dr Mohd Radzi menasihatkan penuduh dan penyebar untuk bertaubat kerana tuduhan tersebut seperti mahu membunuh karakternya.

“Saya doakan yang terbaik untuk sahabat semua dan mohon sahabat semua doa yang terbaik juga untuk saya serta keluarga walau kita dizalimi sedemikian rupa,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 25/9/2023

- Advertisement -