Keputusan kes Zahid beri kesan positif kepada PN

Dr Mazri Yahya
- Advertisement -

MUAR: “Semalam merupakan satu peristiwa hitam kepada sistem perundangan negara, kita panggil sebagai Black Monday,” kata calon PERIKATAN NASIONAL bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Simpang Jeram, Dr Mazri Yahya.

- Advertisement -

Ini, ujarnya kerana selama 25 tahun Pakatan Harapan (PH) atau secara lebih jelasnya DAP dan PKR memperjuangkan supaya tidak ada rasuah, good governance dan integriti dalam pentadbiran adalah sia-sia.

“Tapi apabila mereka menjadi kerajaan hari ini, kerana untuk mengekalkan kuasa semua yang mereka perjuangkan itu adalah sia-sia sahaja,” ujarnya semasa ditemui pada majlis tahlil di Taman Sri Bakri 3, di sini, malam ini.

Tambahnya, jadi sia-sialah mereka yang berjuang bersama DAP dan PKR yang akhirnya apa yang mereka perjuangkan ialah hipokrit dalam politik.

Semalam, Mahkamah Tinggi memutuskan melepas tanpa membebaskan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi daripada semua 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram yang berkaitan dengan dana Yayasan Akalbudi.

Sehubungan itu, kata Dr Mazri apa yang dianjurkan kepada mereka yang mendukung dan ingin betul-betul memastikan bahawa kerajaan atau negara ini berada di landasan yang betul, mereka perlu menolak DAP dan PKR pada hari ini.

“Kita menyeru kepada sahabat-sahabat kita di dalam Umno supaya bersama dengan PERIKATAN NASIONAL dalam Pilihan Raya Kecil di DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai supaya memberi signal yang betul kepada rakyat Malaysia.

“Kalau anda sayangkan negara ini sampaikanlah apa yang anda fikir itu di peti undi pada 9 September ini. 

“Kita juga menyeru kepada mereka yang bukan beragama Islam yang selama ini terpengaruh dengan dakyah DAP sebagai pejuang anti rasuah, integriti, good governance, semua itu adalah penipuan daripada DAP dan PKR.

“Jangan jadikan negara kita sebagai mangsa untuk masa hadapan,” katanya lagi.

Beliau percaya isu Zahid itu merupakan satu kesan yang positif kepada PERIKATAN NASIONAL.

Ini, tambah beliau seumpama PH menjaringkan gol sendiri dalam pertandingan bola sepak.

Menurutnya lagi, semua yang dibuat itu akan menjahanamkan PH.

“Jadi saya percaya insya-Allah akan ada perubahan dari sudut pengundian, cuma kita berharap rakyat keluar mengundi.

Beliau menambah, kalau rakyat tidak keluar mengundi pada 9 September ini menyebabkan apa yang dicita-citakan itu tidak menjadi kenyataan.

Mengenai sambutan warga DUN Simpang Jeram sepanjang kempen yang telah dijalankan sehingga kini, Dr Mazri menyatakan sokongan berpihak kepada PERIKATAN NASIONAL.

“Alhamdulillah saya dapati sokongan daripada masyarakat seluruh peringkat sangat bagus 75 hingga 80 peratus berpihak kepada kita, anak muda dan semua dan kita berharap momentum ini semakin meningkat, insya-Allah,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 5/9/2023

- Advertisement -