ATM bebas caj jadi hak undang-undang di Britain

- Advertisement -

LONDON: Hampir setiap penduduk Britain akan kekal dalam lingkungan 4.8 kilometer (km) dari mesin juruwang automatik (ATM) yang tidak mengenakan caj walaupun penggunaan wang kertas dan syiling semakin berkurangan.

Institusi kewangan akan diberi “jangkaan minimum” untuk melindungi perkhidmatan kepada orang ramai dan perniagaan yang ingin mengeluarkan atau mendepositkan wang tunai, selain boleh didenda jika tidak memenuhi syarat itu.

- Advertisement -

Laporan pasaran pembayaran UK Finance menyatakan bahawa peratusan tunai daripada semua kaedah pembayaran jatuh daripada 62 peratus pada 2006 kepada hanya 15 peratus pada tahun 2021 dan diramalkan akan jatuh kepada enam peratus menjelang 2031 dengan wabak Covid-19 mempercepatkan penggunaan kad dan telefon pintar untuk pembayaran tanpa sentuh.

Persediaan Britain untuk potensi Pound digital juga menimbulkan kebimbangan bahawa wang tunai akan terus diketepikan.

Walaupun wang kertas dan syiling masih di tempat kedua selepas kad, iaitu 57 peratus daripada urus niaga, penduduk kawasan luar bandar bimbang bank akan menutup cawangan apabila lebih ramai orang menggunakan perbankan dalam talian, mereka perlu bergantung kepada ATM yang mengenakan caj bagi setiap pengeluaran wang tunai.

“Walaupun pilihan dan kemudahan pembayaran digital semakin meningkat, wang tunai mempunyai peranan penting,” kata Menteri Perkhidmatan Kewangan Britain, Andrew Griffith dalam satu kenyataan.

Mengikut Akta Perkhidmatan dan Pasaran Kewangan yang baru diluluskan di Britain, Pihak Berkuasa Perlakuan Kewangan (FCA) diberi kuasa untuk melindungi akses tunai tanpa sebarang bayaran bagi mereka yang mempunyai akaun bank, kata kementerian itu.

Jika bank menarik balik perkhidmatan dan perkhidmatan gantian diperlukan, ia perlu disediakan sebelum penutupan berlaku, kata kementerian itu.

“Ini adalah langkah yang memberi manfaat kepada semua orang yang menggunakan wang tunai, terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar, warga emas dan golongan kurang upaya,” kata Griffith.

FCA pada Mei lalu, menyatakan bahawa 97.5 peratus penduduk kawasan bandar boleh mengakses perkhidmatan deposit dan pengeluaran tunai dalam jarak satu batu, tetapi untuk kawasan luar bandar menurun kepada 72.6 peratus dan meningkat kepada 98.5 peratus dalam jarak 4.8 km.

Sehubungan itu, FCA harus menggunakan kuasanya untuk mengekalkan tahap liputan ini, sambil menyedari bahawa keperluan mungkin berbeza mengikut lokasi dan perubahan dari semasa ke semasa, kata kementerian itu. – REUTERS

- Advertisement -