Letupan kuat di hadapan sekolah kebangsaan

ACP Mohd Shokri Abdullah
- Advertisement -

KANGAR: Letupan kuat di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Padang Besar, dekat sini,  awal pagi ini, disyaki berpunca daripada penggunaan bahan letupan buatan sendiri menggunakan paip besi, demikian siasatan awal polis di lokasi kejadian.

- Advertisement -

Ketua Polis Daerah Padang Besar, ACP Mohd Shokri Abdullah, berkata pihaknya menerima maklumat pada kira-kira jam 7.30 pagi daripada pengawal keselamatan sekolah berhubung insiden itu.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

“Pengawal keselamatan itu memaklumkan mendengar satu bunyi letupan kuat di hadapan luar pagar sekolah pada sekitar jam 4 pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Susulan laporan tersebut, katanya, Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Padang Besar bersama  pasukan forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis bergegas ke  tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati bahan letupan tersebut dipercayai buatan sendiri menggunakan paip besi,” katanya.

Mohd Shokri menasihatkan masyarakat tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis dan mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Sebarang maklumat berkaitan keselamatan atau kejadian jenayah boleh disalurkan di talian hotline 60 4942222,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -