Klopp positif Liverpool seri dengan Chelsea

- Advertisement -

Juergen Klopp puas hati dengan prestasi Liverpool yang seri 1-1 dalam perlawanan Liga Perdana menentang Chelsea semalam, walaupun pasukannya mempunyai kelebihan dalam perlawanan itu.

Liverpool bermula dengan baik, mendahului pada perlawanan pembukaan musim selepas Luis Diaz menyudahkan hantaran cantik Mohamed Salah.

- Advertisement -

Bagaimanapun, mereka gagal menamatkan cabaran lawan dan Chelsea menyamakan kedudukan menerusi pertahanan Axel Disasi bagi membolehkan pasukannya berkongsi mata.

“Saya okey dengan keputusan seri…kami mempunyai permulaan yang sangat baik untuk permainan, saya sangat menyukainya,” kata Klopp kepada wartawan.

“Semuanya ada, apa yang kami telah usahakan. Namun kemudian kami membuka pintu untuk Chelsea, kami kehilangan bola dalam satu atau dua situasi yang tidak sepatutnya. Chelsea menjadi lebih baik dalam permainan … dan kami perlu berjuang habis-habisan.

“Saya melihat banyak perkara yang saya suka dan beberapa perkara yang saya tidak suka. Ini adalah perlawanan pertama di tempat yang sukar, dan saya cenderung melihatnya sebagai sesuatu yang positif.”

Ketika Liverpool mencari gol kemenangan pada separuh masa kedua, Salah dikeluarkan pada minit ke-77, menandakan kali pertama dalam tujuh musim, dia gagal menjaringkan gol pada perlawanan pertama Liga Perdana.

Penyerang berasal dari Mesir yang berkongsi kedudukan dengan Alan Shearer, Wayne Rooney dan Frank Lampard untuk jaringan terbanyak pada perlawanan pembukaan, kelihatan tidak berpuas hati dengan pertukaran itu, menanggal pita di pergelangan tangannya dan melemparkan ke tanah.

“Saya belum bercakap lagi dengannya,” kata Klopp. “Saya tidak tahu jika dia boleh menjaringkan gol dalam perlawanan itu ia akan menjadi rekod sepanjang zaman atau apa sahaja.

“Saya faham kekecewaannya, tetapi saya pengurus seluruh pasukan. Pada masa itu, kami memerlukan pengganti yang segar, ini masuk akal untuk kami.

“Perlawanan ini sangat sengit untuk semua orang. Itu sahaja yang boleh saya katakan mengenainya, reaksinya benar-benar okay.”

Pertembungan semalam mempunyai unsur drama tambahan, memandangkan kedua-dua pasukan terikat dalam pertarungan mendapatkan Moises Caicedo.

Chelsea ketika ini kelihatan menjadi pilihan untuk menandatangani pemain Brighton & Hove Albion itu, walaupun media Britain pada Jumaat lalu, melaporkan bahawa Liverpool bersetuju dengan perjanjian untuk pemain tengah Ecuador itu.

Kedua-dua kelab juga dikaitkan dengan perpindahan Romeo Lavia dari Southampton, dengan pengurus Chelsea, Mauricio Pochettino berkata, kelab barat London itu perlu membuat pembelian untuk memperkuatkan bahagian tengah mereka.

Klopp enggan mengulas mengenai Caicedo dan Lavia, tetapi apabila ditanya mengenai komen Pochettino, dia berkata: “Itulah yang setiap pengurus Chelsea mahu dan biasanya mereka dapat.”

Perlawanan Liverpool seterusnya ialah menerima kunjungan Bournemouth pada hujung minggu ini. – REUTERS

- Advertisement -