Pikul amanah jemaah pertahan kerajaan negeri

- Advertisement -

BESUT: Dr Riduan Mohamad Nor mengambil amanah daripada jemaah sebagai calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) bagi DUN Jertih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.

- Advertisement -

Ini, katanya dengan harapan supaya PAS/PN kekal menjadi kerajaan negeri selepas 12 Ogos nanti.

Menurutnya, beliau memikul tanggungjawab itu kerana Allah menjadikan manusia sebagai khalifah di atas muka bumi dengan menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya.

“Oleh kerana para nabi dan sahabat terlibat dengan politik dan siasah, maka saya rasa berkewajipan juga untuk saya mengikut jalan ini dengan menggunakan kuasa bagi menegakkan agama Allah.

“Saya berharap semasa pilihan raya negeri (PRN) ini, pengundi Jertih dapat mengajar BN yang bekerjasama dengan PH seperti yang berlaku di Perak dan Pahang sedangkan mereka ada ruang untuk bekerjasama dengan PAS, tetapi mereka rela bersama dengan DAP,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat berdepan dengan calon BN, Mohd Rozaini Rasli.

Dr Riduan seorang pendakwah serta penulis sepenuh masa, merupakan penaung Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan Pacuan Empat Roda Malaysia, Pengerusi LESTARI serta pengasas NGO Muslim Care Malaysia iaitu sebuah NGO bantuan kemanusiaan yang aktif dalam dan luar negara.

Beliau juga merupakan perunding motivasi yang aktif menyumbang kepakaran kepada para pelajar sekolah dan universiti.

“Saya menjadi khatib dan pengkuliah sejak 25 tahun lepas dan mengarang 62 buah buku dalam pelbagai genre.

“Saya juga terlibat secara aktif dalam membentang kertas kerja, berdiskusi, berseminar, membedah buku dan program pembinaan di dalam dan di luar negara,” ujarnya lagi.

Selain itu, Dr Riduan juga merupakan penceramah radio di beberapa stesen radio seperti Salam FM, IKIM dan Astik FM.

Di radio IKIM, beliau adalah pembicara diskusi buku, dan turut bersiaran di Astro Oasis dalam rancangan ‘Iktibar’.

Dr Riduan turut mengingatkan anak muda bahawa mereka merupakan ejen perubahan dan menyeru untuk mengundi calon PAS/PN kerana akan ada banyak inisiatif untuk mereka.

“Sebagai aktivis pendidikan serta dakwah yang membantu umat Islam sedunia dan terlibat dengan politik semenjak zaman kampus lagi, insya-Allah saya akan memberikan khidmat yang terbaik kepada warga Jertih.

“Semoga rakyat memberikan sokongan dan dokongan untuk saya menjadi jurubicara mereka dalam Dewan Undangan Negeri Terengganu,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 29/7/2023

- Advertisement -