Kecederaan lutut paksa lagenda City, Silva bersara

- Advertisement -

Bekas pemain antarabangsa Sepanyol, David Silva mengumumkan persaraannya semalam, beberapa hari selepas mengalami kecederaan lutut ketika latihan pramusim bersama kelabnya, Real Sociedad.

Pemain tengah berusia 37 tahun itu cedera lutut kirinya pada awal Julai ini, ketika berlatih menjelang musim keempat bersama kelab LaLiga itu.

- Advertisement -

“Hari ini adalah hari yang menyedihkan bagi saya,” kata Silva dalam video yang disiarkan di media sosialnya, mengimbas kembali beberapa sorotan kerjayanya.

“Hari ini, tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada apa yang telah saya dedikasikan sepanjang hidup. Hari ini, tiba masa untuk mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerja saya yang saya anggap seperti keluarga sendiri. Saya akan sangat merindui anda.”

Antara pemain terbaik generasinya, Silva mempunyai himpunan piala dalam Liga Perdana, LaLiga dan pasukan kebangsaan Sepanyol.

Dia memenangi piala utama, termasuk Piala Dunia pada 2010 dan Kejuaraan Eropah dua kali bersama Sepanyol, manakala Copa del Rey sebanyak dua kali, sekali bersama Valencia pada 2008 dan piala terakhir bersama Sociedad pada 2020.

Bagaimanapun, kejayaan peringkat kelabnya yang paling berjaya ketika bersama Manchester City apabila memenangi Liga Perdana empat kali, Piala FA dua kali dan lima Piala Liga dalam tempoh sedekad antara 2010-2020.

Produk akademi Valencia, Silva mempunyai lebih 120 gol dan hampir 200 bantuan dalam hampir 750 penampilan kelab, serta menjaringkan 35 kali dalam 125 penampilan untuk Sepanyol.

Dia diberi penghormatan dengan patungnya di luar Stadium Etihad City sebagai mengiktiraf sumbangannya kepada kejayaan kelab selepas pemergiannya pada 2020. – REUTERS

- Advertisement -