Tok Mat tidak manfaat peluang perbetul Umno

Datuk Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -


REMBAU: Timbalan Presiden Umno, Dato’ Seri Mohamad Hasan sebelum ini diharap penyokong akar umbi Umno mampu membetulkan hala tuju parti itu.

- Advertisement -

Bagaimanapun apa yang diharap ahli dan penyokong Umno tidak menjadi kenyataan apabila pemimpin terbabit tidak merebut peluang yang ada.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, Mohamad tidak menggunakan peluang yang ada sebelum ini bagi memperbetulkan hala tuju Umno dan BN.

Katanya, ketika bercakap di hadapan Presiden Umno Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Mohamad tidak berusaha untuk membaiki kelemahan Umno.

“Budaya penakut menyebabkan peluang untuk membetulkan Umno tidak menjadi kenyataan sehingga parti itu ditolak rakyat,” katanya pada ceramah dan Pelancaran Bilik Gerakan PERIKATAN NASIONAL (PN) Dun Rantau di Sendayan Merchant Square, malam tadi.

Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor berkata, Mohamad dan pemimpin Umno berdepan dilema bagi mengajak rakyat menyokong parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kerana kerjasama dengan DAP pada 12 Ogos ini.

Menurutnya juga sebagai Timbalan Presiden Umno tentunya beliau akan mengajak ahli-ahli Umno mengundi calon DAP dan Pakatan Harapan (PH) biar pun berdepan kemarahan penyokong di peringkat akar umbi.

“Ahli-ahli Umno harus berfikir, adakah mereka bersetuju dengan ajakan yang mungkin terpaksa dilakukan Tok Mat,” kata beliau.

Turut hadir Ahli Parlimen Ketereh Mejar Jeneral (B) Dato’ Khlir Mohd Nor, Ahli Parlimen Tangga Batu Bakri Jamaluddin, Exco Armada Bersatu Mohd Firdaus Rashid, Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Kamarol Ridzuan Mohd Zain dan Ketua Bersatu Rembau, Nazree Yunus. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -