Mengunyah pesanan berharga sang murabbi di era tamkin

- Advertisement -

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang telah melebihi 71 tahun perjuangannya, bergerak seimbang disektor siasah, dakwah dan tarbiah. Harakatul ummah ini yang menghimpunkan insan-insan yang cintakan kepada Islam dan syariatnya, maka program tajnid (kaderisasi) merupakan wahana untuk membentuk kader-kader dakwah yang piawai.

- Advertisement -

Pimpinan PAS dalam era tamkin ini wajar mempersiapkan diri sebagai model kepada ahli dan masyarakat. Rakyat sedang memerhati, apatah lagi dengan PRN yang akan berlangsung pada 12 Ogos ini.

PAS sewajibnya mempunyai pimpinan yang piawai dan pakej di semua peringkat kepimpinan, maka pembinaan karektor kepimpinan ini mestilah bertunjang kepada thaqofah. Kepimpinan PAS wajib melumatkan seluruh hasrat dan aspirasi jamaah.

PAS sebagai gerakan Islam tertua dinegara ini pastilah berbeda dengan sistem tajnid Ikhwanul Muslimin, Jamiat Islami, Mili Goruz dan lain-lain harakatul ummah. PAS menghimpunkan paling ramai kelompok asatizah, kelompok anak muda serta para profesional, medan ujian PAS berbeda dengan gerakan Islam yang lain.

Kumpulan teras dalam sesebuah gerakan massa sangat penting, kelompok ini menjaga hubungan dengan Allah, merapati masyarakat dan ahli, sentiasa menambah ilmu, menjadi pantulan cerminan dalam masyarakat, boleh dikerah bila-bila masa untuk gerak kerja Islam dan mewajahkan jamaah sebagai wadah terbaik bagi kelompok orang beriman

Menurut anak didik Sheikh Said Hawwa ini, sebagaimana diyakini bahawa kemenangan di dalam Islam tidak memadai untuk dicapai hanya dengan kuantiti yang ramai semata-mata, sebaliknya mestilah dilengkapi dengan kualiti ansarullah yang beriman lagi bertaqwa yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis Nabi SAW.

Antara contoh lain juga berkaitan dengan amanat Saiyyidina Umar al-Khattab ketika Sa’ad bin Abi Waqqas memimpin tentera dalam Peperangan Al-Qadisiyah agar tentera Islam menjadikan taqwa sebagai sebaik-baik bekalan untuk mengalahkan musuh seterusnya menjauhi maksiat dan dosa kerana sesungguhnya maksiat dan dosa tentera Islam adalah lebih merbahaya dan ditakuti baginda SAW berbanding dosa yang dilakukan oleh musuh.

Usrah Qiadi PAS Terengganu, menghimpunkan pimpinan PAS Terengganu kali ini diadakan di MDQ Rusila. Pertemuan bulanan untuk merimbun ukhuwah dan pemantapan fikrah itu dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Ayah Chik tak lelah untuk berpesan kepada semua pimpinan agar membetulkan niat dalam perjuangan ini.

”mereka orang kampung sahaja, menyokong PAS…bila ada pilihan raya mereka paling ke hadapan. Dengan tenaga, duit ringgit untuk perjuangan, malah ada yang sanggup menjual tanah mereka, walhal bukan mereka yang bertanding…inilah ahli-ahli yang ikhlas berjuang,” senyum sang murabbi mengingatkan tentang tad’hiah, ada getar halus pada pita suaranya. Suara gembira keharuan akan pendukung yang ikhlas tercetak daripada tarbiah imaniah.

Dalam senyum tuan guru menatap ke arah anggota-anggota Usrah Qiadi, mengingatkan tentang disiplin dan akhlak berjemaah. “Ingat dalam sirah Nabi SAW tentang ghazwah Uhud, baginda ingatkan tentera pemanah yang yang ditempatkan di atas Bukit Ru’umah, jangan turun ke bawah sama ada tentera di bawah menang atau kalah…tetapi bila musuh berpaling tumit pusingan pertama, 40 orang turun daripada bukit, terlupa arahan Nabi. Maka kesannya, Khalid al Walid pemimpin sebelah kanan musyrikin pada masa itu menyerang baki yang masih bertahan di atas bukit…memanggil kembali rakan-rakan yang berpaling tumit.

Kesannya Nabi diserang musuh, berdarah kepala, patah gigi kerana serangan musuh…sebab itu disiplin sangat penting dalam perjuangan ini,” ujar Ayah Chik dengan nada serius. Tiada kemenangan jika prasyarat kemenangan tak dipenuhi oleh abnaul harakah.

Ingatan dan pesan-pesan berharga ini secara amnya kepada seluruh amilin PAS, khususnya pula kepada pimpinan PAS yang berhadapan dengan beragam ujian dalam perjuangan terutama menjelang PRN 2023. Moga pimpinan dan ahli dapat menghadam pesanan murabbi dan nakhoda jamaah. – HARAKAHDAILY 8/7/2023

Penulis adalah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -