Islam agama keamanan

Dato' Dr Mahfodz Mohamed
- Advertisement -

SALAH satu daripada prinsip dalam Islam ialah keamanan dan keselamatan. Islam daripada awal kelahirannya telah melaungkan prinsip keamanan dengan meletakkan beberapa langkah supaya seseorang itu dapat mencapai matlamat tersebut.

- Advertisement -

Sesungguhnya Islam mencintai kehidupan yang aman tenteram dan menggalakkan manusia supaya hidup dalam keadaan aman damai.

Oleh yang demikian Islam membebaskan manusia daripada sifat takut dengan menggariskan jalan-jalan yang terbaik supaya umat manusia dapat hidup bersama menuju ke matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan di bawah panji-panji keamanan dan keselamatan.

Bahkan perkataan Islam yang menjadi nama kepada agama Islam adalah berpunca daripada perkataan as-salam, kerana salam dan Islam, keduanya membawa makna ketenangan, keamanan dan keselamatan.

Tuhan kepada agama Islam itu sendiri di antara nama-namanya ialah As-Salam yang memberi keamanan kepada umat manusia yang menggariskan beberapa prinsip dengan menetapkan beberapa perancangan dan manhaj.

Begitu juga pembawa risalah ini iaitu Nabi Muhammad SAW membawa bendera Islam (kesejahteraan) kepada umat manusia dengan membawa huda petunjuk, cahaya Islam dan kebajikan dengan sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: ”Hanya sanya aku membawa rahmat dan petunjuk.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan tidak Aku utuskan kamu (Wahai Muhammad) melainkan untuk membawa rahmat kepada seluruh alam.” (Al-Anbiya’: 107)

Ucapan orang-orang Islam yang boleh melembutkan hati-hati mereka dan boleh mengukuhkan silaturrahim antara mereka ialah ucapan as-salam.

Orang yang paling mulia dan yang paling hampir kepada Allah ialah orang yang memulakan percakapan dengan “As-salam”.

Allah menjadikan ucapan as-salam bagi kaum muslimin membuktikan bahawa Islam adalah agama keamanan dan ketenteraman dan juga menunjukkan bahawa kaum muslimin cintakan keamanan.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah menjadikan as-salam sebagai ucapan kepada umatku dan tanda keamanan kepada non-Muslim.”

Ucapan yang patut dimulakan ialah dengan perkataan as-salam. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “As-salam perlu diucapkan sebelum memulakan percakapan”.

Ini menunjukkan bahawa as-salam bermakna keamanan dan tidak boleh bercakap melainkan setelah ada keamanan.

Ketika dalam peperangan pun jika pihak musuh hendakkan perdamaian, maka wajib kita hentikan peperangan firman Allah bermaksud: ”Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya.” (Al-Anfal : 61)

Firman-Nya lagi maksudnya: ”Dan janganlah kamu  (terburu-buru mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam) atau mengucap dua kalimah syahadah) “engkau bukan orang yang beriman (lalu kamu membunuhnya ).” (Al-Anbiya’: 94)

Allah juga mengucapkan salam kepada orang-orang yang beriman, dengan firmannya: “Sambutan penghormatan yang akan diberi Tuhan kepada mereka semasa menemuinya ialah ucapan salam dan ia telah menyediakan untuk mereka pahala balasan yang mulia.” (Al-Ahzab: 44)

Ucapan para malaikat kepada umat manusia diakhirat nanti juga dengan ucapan salam sebagaimana firman Allah bermaksud: ”Sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu (memberi hormat) dengan berkata: Salam sejahtera kamu berpanjangan.” (Ar-Ra’d: 23-24)

Tempat tinggal yang kekal bagi orang-orang yang soleh ialah Darussalam. Firman Allah maksudnya: “Bagi merekalah syurga Darussalam (tempat tinggal yang aman sejahtera) di sisi Tuhan mereka.” (Al-An’am: 127) dan firman-Nya yang bermaksud: “(itulah dia kesudahan kehidupan di dunia) dan sebaliknya Allah menyeru manusia ke tempat kediaman yang selamat sentosa.” (Yunus: 25)

Penghuni-penghuni syurga akan bercakap dengan salam sejahtera. Firman Allah yang bermaksud: “Mereka tidak akan mendengar dalam syurga itu perkataan yang sia-sia. Tidak pula sesuatu yang menyebabkan dosa, mereka hanya mendengar ucapan selamat, selamat dari satu kepada yang lian.” (Al-Waqi’ah: 25-26)

Dengan berulang-ulangnya perkataan salam bermula dari perkataan Islam itu sendiri serta ucapan sesama Muslim semasa di dunia dan juga ucapan para malaikat dan ahli-ahli syurga di akhirat nanti jelaslah Islam adalah agama yang mengajak kepada perdamaian dan keamanan dan bukan sekali-kali agama yang membawa kepada permusuhan dan kebencian.

DATO’ DR MAHFODZ MOHAMED
Pengerusi As-Sabiqun Pusat – HARAKAHDAILY 6/7/2023

- Advertisement -