GAMIS cadang semak semula kad diskaun siswa

- Advertisement -

GABUNGAN Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) menyambut baik tindakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memperkenalkan kad diskaun siswa bagi membasmi kemiskinan dalam kalangan mahasiswa.

- Advertisement -

Usaha-usaha mengurangkan beban dan menjaga kebajikan mahasiswa perlu diperjuangkan oleh semua pihak.

Namun begitu, GAMIS belum dapat mengenal pasti bagaimana mekanisme kad diskaun siswa ini akan dijalankan.

Adakah ia meliputi semua barang-barang asasi mahasiswa, di mana sahaja kedai yang bakal menerima inisiatif ini, berapakah diskaun harga yang bakal diberikan dan sebagainya.

Kendatipun, beberapa cadangan yang ingin GAMIS utarakan:

i) Disebabkan ini merupakan inisiatif jangka masa pendek, kerajaan perlu memastikan setiap universiti menguatkuasakan inisiatif ini dengan lebih efektif dan kaedah yang sistematik.

ii) Kerajaan perlu meneliti semula sistem Kad Prihatin Siswa (KPS) sedia ada yang telah dicadangkan oleh Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) kerana mempunyai objektif bagi menyeragamkan kemudahan atau fasiliti dan tawaran/keistimewaan/ganjaran/promosi kepada pelajar.

iii) Liputan inisiatif ini perlu diperluas di kafe-kafe universiti, kedai-kedai buku, kedai runcit dan apa-apa outlet yang menjadi tumpuan utama pelajar supaya manfaat dapat dinikmati sepenuhnya bagi memenuhi keperluan kebajikan pelajar.

iv) Kerajaan perlu mengambil iktibar daripada respons atau keluhan peniaga kecil yang menyambut inisiatif menu rahmah tempoh hari.

v) Pihak kementerian perlu ada pelan jangka masa panjang untuk menyelesaikan isu kos yang membebani mahasiswa miskin.

GAMIS meminta kerajaan agar turut menumpukan fokus kepada usaha untuk menyelesaikan isu-isu dasar mahasiswa miskin seperti kos yuran yang tinggi dan juga pembayaran elaun bagi program latihan industri wajib.

Isu-isu dasar ini perlu diberikan keutamaan untuk memastikan penyelesaian yang komprehensif di samping pelbagai inisiatif yang cuba diusahakan oleh kerajaan.

“Mengungguli Gerakan Mahasiswa”

WAN MUHAMMAD ARIF WAN BAZLI ARIF
Presiden GAMIS Sesi 2023
1 Julai 2023 | 12 Zulhijjah 1444 – HARAKAHDAILY 1/7/2023

- Advertisement -