Surah Maryam: Kekuatan bersandar kepada Allah (1)

- Advertisement -

PENGENALAN surah

Maryam merupakan ibu kepada Nabi Isa A.S. Beliau melahirkan Nabi Isa tanpa seorang ayah. Berikut merupakan latar belakang surah: 

1. Surah Makkiyyah (diturunkan di Makkah, sebelum hijrah Rasulullah S.A.W dari Makkah ke Madinah). 

2. Surah yang ke-19 dan mengandungi 98 ayat. 

3. Dinamakan sebagai “surah Maryam” kerana pada ayat ke-16 hingga 34, diceritakan kisah tentang Maryam dan kelahiran anaknya iaitu Nabi Isa A.S. 

Perkara luar biasa, wajib dipercayai

Antara intisari yang penting dalam surah ini ialah kisah mengenai perkara-perkara yang sangat luar biasa. 

(a) Kisah mengenai Nabi Zakaria.

Nabi Zakaria dan isterinya yang sudah pun berusia pada ketika itu tidak melahirkan anak. Baginda berdoa sepanjang masa agar dikurniakan zuriat. Dikhuatiri tiada pengganti selepas ketiadaannya untuk berdepan dengan Bani Israel dan membimbing mereka kepada jalan kebenaran. Ada riwayat yang menyebut bahawa Baginda berdoa selama tujuh puluh tahun dan kemudian barulah dikurniakan zuriat yang diberi nama Yahya. 

(b) Kisah mengenai Maryam.

Beliau ialah seorang wanita yang tidak pernah berkahwin, tidak mempunyai suami, tiba-tiba mengandung dan melahirkan seorang anak lelaki iaitu Nabi Isa. Peristiwa ini sangat pelik sehingga penganut Kristian menganggap bahawa Nabi Isa merupakan anak Tuhan kerana tidak mempunyai ayah (‘God The Son’ – salah satu kepercayaan dalam Trinity). 

Kisah mengenai Nabi dan umat-umat yang terdahulu yang beriman dan tidak beriman juga diceritakan dalam surah ini. 

Hujah orang bukan-Islam terhadap kebenaran Islam berjaya dipatahkan

Selain itu, Allah S.W.T menjawab beberapa isu yang dilemparkan terhadap Rasulullah S.A.W. Misalnya, ada orang-orang bukan-Islam yang berhujah menentang kebenaran agama Islam dan jalan kebenaran yang diikuti oleh orang-orang Islam. Soalan-soalan yang dilontarkan adalah:  

“Kalaulah Islam ini agama betul, jalan yang dilalui oleh orang Islam ini betul, mengapa orang Islam susah?”

“Mengapa orang bukan Islam senang?”

Orang bukan-Islam menguasai dunia pada hari ini seperti Amerika dan Rusia. Di belakang mereka pula ada Yahudi. Negara-negara Islam terpaksa tunduk di bawah kuasa-kuasa besar Barat. Orang Islam ketinggalan dalam bidang ilmu, ekonomi, senjata dan sebagainya. 

Hujah ini bukan sahaja berlegar pada hari ini bahkan ia sudah pun muncul pada zaman Rasulullah S.A.W. Ada orang Yahudi yang menafikan kebenaran agama yang dibawa oleh Rasulullah. Sebab pengikut-pengikut Nabi ialah orang-orang yang lebih rendah martabatnya dan ‘simple-minded’ malah susah dan tidak mempunyai apa-apa. 

Allah menjawab hujah tersebut dalam surah ini bahawa ukuran kepada kebenaran atau kebatilan bukanlah mengikut ukuran secara zahir. Lihatlah Nabi-nabi dan Rasul-rasul, mereka tidak mempunyai apa-apa. 

Malah yang berjaya dan menjadi pemerintah dalam kalangan mereka adalah cuma beberapa orang sahaja seperti Nabi Sulaiman, Nabi Daud dan Nabi Muhammad. Nabi Nuh pula walaupun mempunyai kaum yang ramai, namun tidak ramai yang memeluk Islam termasuklah anak dan isterinya. Nabi Zakaria dibunuh (digergaji) selepas persembunyiannya di dalam batang pokok dibongkarkan oleh Iblis yang menjelma dalam rupa manusia. 

Nabi Yahya pula dibunuh (dipancung leher) kerana kepalanya menjadi syarat perkahwinan antara Saloma dan King Herod. Kepalanya itu dijadikan sebagai mas kahwin. Saloma ialah anak saudara tiri King Herod yang cantik dan pandai menari dan menyukai Nabi Yahya. King Herod pula ialah seorang raja yang berdegil mahu mengahwini Saloma walaupun telah ditegah oleh Nabi Yahya kerana berkahwin dengan anak saudara tiri adalah bercanggah dengan hukum. Sebelum pada itu, King Herod telah pun berkahwin dengan kakak ipar tirinya setelah dia membunuh abang tirinya. King Herod mahu mengahwini Saloma kerana dia mendapati Saloma lebih cantik daripada isteri pertamanya [1].

Ramai lagi sebenarnya Nabi yang kita tidak ketahui nama mereka yang telah dibunuh oleh Bani Israel. Sebagaimana yang telah diceritakan dalam surah al-Baqarah, antara dosa Bani Israel ialah mereka membunuh Nabi-nabi. Bani Israel ialah gelaran kepada anak-anak Nabi Yaakub seramai dua belas orang anak daripada dua orang isteri. Nabi Yaakub digelar sebagai Israel kerana Baginda suka berjalan pada waktu malam. 

Istimewanya al-Quran, diturunkan dalam Bahasa Arab

Kitab-kitab suci diturunkan mengikut bahasa Nabi-nabi pada ketika itu. Misalnya, kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa dalam bahasa Ibrani. Disebabkan oleh Nabi Muhammad merupakan orang Arab dan dihantar kepada bangsa Arab, maka al-Quran diturunkan dalam Bahasa Arab yang jelas dan ‘standard’

Isu viral: Penggunaan kalimah Allah

Akhirnya bahasa ini kekal menjadi bahasa agama Islam sehingga ke hari ini. Oleh sebab itu, orang bukan-Islam tidak boleh menggunakannya secara khusus melalui istilah seperti memanggil Tuhan mereka sebagai Allah. Adapun penggunaan secara umum adalah tidak mengapa seperti orang Cina menyebut: ‘Kita pun sembah Allah juga’.

Istilah khusus lain yang boleh dijadikan sebagai contoh ialah Yang di-Pertuan Agong. Ia hanya boleh digunakan oleh seorang sahaja di Malaysia. Sultan-sultan di negeri-negeri tidak boleh menggunapakainya. 

Maka, nama Allah menjadi suatu istilah khusus dan menjadi kata nama khas. Mengapa orang bukan-Islam bersungguh-sungguh mahu menggunapakai nama Allah? Sebelum ini tidak pula menggunapakai kalimah Allah, mengapa tiba-tiba hari ini mahu menggunapakainya? Kelihatannya sudah pasti ada tujuan yang tersirat. 

Nama Allah ini mempunyai konsep dan makna yang tersendiri sebagaimana yang telah diterangkan dalam surah al-Ikhlas. Sedangkan dalam agama Kristian, Tuhannya ada tiga yang mana bercanggah dengan apa yang telah disebut dalam surah al-Ikhlas. Syabas kepada Sultan Selangor dan Sultan Johor yang berkeras dalam hal ini kerana ia adalah hak orang Islam. 

Rahmat-Nya kepada Nabi Zakaria 

- Advertisement -

كٓهيعٓصٓ

“Kaaf, Haa, Yaa, Ain, Saad.” (1)

Surah ini dimulakan dengan lima huruf. Allah lebih mengetahui akan maksudnya. 

ذِكْرُ رَحْمَتِ رَبِّكَ عَبْدَهُۥ زَكَرِيَّآ

“(Ini ialah) perihal limpahan rahmat Tuhanmu (wahai Muhammad), kepada hambaNya Zakaria.” (2)

Allah S.W.T ingin menunjukkan kebesaran-Nya apabila ada seorang manusia yang sudah pun berusia dan isterinya pula dikatakan mandul. Tiada yang mustahil kerana semuanya tertakluk kepada kuasa-Nya. Misalnya, api yang menyala selama seminggu langsung tidak membakar Nabi Ibrahim. Pisau yang tajam pula tidak melukakan Nabi Ismail apabila disembelih oleh Nabi Ibrahim. 

Berdoa, ada kaedahnya agar makbul

إِذْ نَادَىٰ رَبَّهُۥ نِدَآءً خَفِيًّا

“(Ingatkanlah peristiwa) ketika Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya dengan doa permohonan secara perlahan.” (3)

قَالَ رَبِّ إِنِّى وَهَنَ ٱلْعَظْمُ مِنِّى وَٱشْتَعَلَ ٱلرَّأْسُ شَيْبًا وَلَمْ أَكُنۢ بِدُعَآئِكَ رَبِّ شَقِيًّا

“Ia merayu dengan berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya telah lemahlah tulang-tulangku, dan telah putih melepaklah uban kepalaku; dan aku wahai Tuhanku tidak pernah merasa hampa dengan doa permohonanku kepada-Mu.” (4)

Nabi Zakaria mengadu akan kelemahan fizikalnya kepada Allah seperti sakit tulang belakang dan rambut sudah beruban memutih. Baginda tidak putus-putus berdoa. Segala permohonannya telah dikabulkan kecuali soal anak. 

Nak berdoa ada kaedahnya. Jadi, jangan pula kita mengeluh mengapa doa kita tidak dimakbulkan. 

1. Kita diajar agar berdoa secara perlahan. Bukannya satu masjid boleh mendengar doa kita. 

2. Merendah diri dengan Allah. Mengakui akan kelemahan diri. Jangan sombong ketika berdoa. Sebab ada yang berdoa tetapi sambil mengira bilangan motosikal misalnya. Ada yang berdoa dan merendah diri tetapi hati pula masih angkuh. 

Ada juga yang berzikir atau beristighfar tetapi ia tidak masuk ke dalam hati. Menurut ulamak, istighfar itu perlu diiringi lagi dengan istighfar. Alangkah sedihnya andai kita beristighfar tetapi tidak berasa bersalah sedikit pun dengan dosa yang telah kita lakukan dan tidak malu langsung dengan Allah. 

Tidak semestinya perlu banyak dalam beristighfar, asalkan ia datang dari hati. Walaupun sedikit, mudah-mudahan memberikan kesan yang besar. Sama seperti ubat; ubat sebiji sekali sehari mungkin lebih berkesan daripada tiga biji sekali sehari. Maka, tidak usahlah kita memperbesarkan isu bilangan sama ada cukup atau tidak seribu kali istighfar. Jadi, makna zikir tidak masuk ke dalam hati sebab sibuk memikirkan jumlah. 

Dalam kisah Imam Ahmad bin Hanbal, ada seorang perempuan yang dirasuk tetapi ia kelihatan amat pelik sekali. Pada suatu hari, perempuan itu jatuh sakit. Ada yang menasihati agar dia dibawa bertemu dengan Imam Ahmad. Beliau ialah seorang yang kuat berzikir dan berwirid. Terompahnya digunakan untuk menyembuhkan sakit perempuan itu. 

Setelah beliau meninggal, perempuan itu jatuh sakit lagi. Dia dibawa berjumpa dengan anak murid Imam Ahmad. Terompah anak muridnya digunakan pada kali ini namun ia tidak berkesan. Ternyata hanya terompah Imam Ahmad yang mampu menyembuhkan kerana hubungannya yang kuat dengan Allah S.W.T. 

Ada yang sembuh apabila pergi berubat dengan bomoh dan ada juga yang tidak. Begitu juga dengan orang yang beramal dengan Ayatul Kursi untuk menghalau hantu. Sebab kelas rohani masing-masing tidak sama. Oleh sebab itu, kelas rohani kita perlu ditingkatkan agar lebih berkesan. 

Nabi Isa pula hanya menyentuh orang yang menghidap penyakit sopak dan orang itu terus sembuh. Kekuatan rohaninya terlalu tinggi. Perkara-perkara pelik berlaku kepada Nabi-nabi sebab makam mereka terlalu tinggi yang tidak boleh dicapai oleh seorang manusia biasa. 

Oleh sebab itu dalam peristiwa Israk dan Mikraj, Nabi Muhammad S.A.W boleh naik ke langit dengan ‘tubuh kasar’. Kalau kita yang naik, kita akan hancur sama sekali atas faktor jarak dan kelajuan perjalanan. 

Apabila kita menaiki kapal terbang, kita perlu berada di dalam tempat yang kedap udara dan memakai oksigen. Kalau tiada oksigen, kita akan mati. Semakin tinggi ia terbang menaik, semakin berkuranganlah oksigen. Apatah lagi menaiki roket menuju ke bulan. Sama juga ketika kita menaiki bukit; semakin tinggi kita mendaki, semakin lelah kita berasa kerana kekurangan oksigen. 

Berbeza dengan Nabi Muhammad S.A.W; Baginda naik ke langit tanpa menggunakan apa-apa alat bantuan. Sebab unsur alam tidak mampu menjejaskannya disebabkan oleh kekuatan rohaninya. Tubuh-tubuh Nabi yang telah meninggal dunia juga tidak hancur dimakan oleh tanah dan kekal sampai ke hari kiamat. Begitu juga dengan hafiz al-Quran. 

Berdoa, letaklah agama di hadapan

وَإِنِّى خِفْتُ ٱلْمَوَٰلِىَ مِن وَرَآءِى وَكَانَتِ ٱمْرَأَتِى عَاقِرًا فَهَبْ لِى مِن لَّدُنكَ وَلِيًّا

“Dan sesungguhnya aku merasa bimbang akan kecuaian kaum kerabatku menyempurnakan tugas-tugas ugama sepeninggalanku; dan isteriku pula adalah seorang yang mandul; oleh itu, kurniakanlah daku dari sisi-Mu seorang anak lelaki. (5)

Permohonan Nabi Zakaria agar dikurniakan zuriat yakni anak lelaki yang bertaraf Nabi sepertinya, tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjaga agama. Bukan mahukan anak untuk menjaga kereta, kebun Musang King, saham dalam bank dan juga perniagaan. Tetapi Baginda mahu agar anak-beranaknya berada di atas jalan kebenaran (agama Islam). Waris yang sedia ada tiada seorang pun yang boleh diharapkan. Inilah taraf pemikiran seorang Nabi yang jauh sangat bezanya dengan kita. 

Begitu juga dengan Nabi Ibrahim yang meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail di Makkah. Baginda juga berdoa, “Ya Allah, aku tinggalkan anak dan isteriku di tempat yang tiada apa-apa, bumi yang kontang, biarlah mereka (keturunanku) ini menjaga solat dan tidak meninggalkannya. Jadikanlah hati-hati manusia cenderung kepada anak dan isteriku (berasa kasihan). Berikanlah anak dan isteriku buah-buahan.”

يَرِثُنِى وَيَرِثُ مِنْ ءَالِ يَعْقُوبَ وَٱجْعَلْهُ رَبِّ رَضِيًّا

“Yang layak mewarisi daku, juga mewarisi keluarga Nabi Yaakub; dan jadikanlah dia wahai Tuhanku seorang yang diredhai serta disukai”.” (6)

Nabi Zakaria menginginkan anak lelaki yang bertaraf Nabi agar dapat meneruskan kerja-kerja yang diperintahkan oleh Allah kepadanya. 

Namakanlah anak dengan nama yang baik maknanya

يَٰزَكَرِيَّآ إِنَّا نُبَشِّرُكَ بِغُلَٰمٍ ٱسْمُهُۥ يَحْيَىٰ لَمْ نَجْعَل لَّهُۥ مِن قَبْلُ سَمِيًّا

“(Nabi Zakaria diseru setelah dikabulkan doanya): “Wahai Zakaria! Sesungguhnya Kami memberikan khabar yang menggembirakanmu dengan mengurniakan seorang anak lelaki bernama Yahya, yang Kami tidak pernah jadikan sebelum itu, seorang pun yang senama dengannya”.” (7)

Nama Yahya merupakan nama pilihan Allah S.W.T. Nama itu tidak pernah digunapakai sebelumnya. Betapa pentingnya dalam menamakan anak kita. Masalah kita pada hari ini adalah menamakan anak dengan nama yang pelik tanpa mengetahui maknanya. 

Apabila ada Sahabat-sahabat yang memeluk Islam di Madinah, Rasulullah menukar nama-nama mereka yang pelik. Sebab nama adalah suatu doa. Nama ini akan sering dipanggil, jadi seseorang itu akan didoakan. Misalnya nama Muhammad, orang Arab marah sekiranya hanya dipanggil ‘Mad’ sebab makna Muhammad ialah ‘yang terpuji’. Ada juga yang menamakan anak dengan nama Arab sebab ‘sedap’ didengar, namun rupa-rupanya maknanya itu tidak baik. 

Bergantunglah dengan Allah, kuasa-Nya tidak terbatas

قَالَ رَبِّ أَنَّىٰ يَكُونُ لِى غُلَٰمٌ وَكَانَتِ ٱمْرَأَتِى عَاقِرًا وَقَدْ بَلَغْتُ مِنَ ٱلْكِبَرِ عِتِيًّا

“Nabi Zakaria bertanya: “Wahai Tuhanku! Bagaimanakah caranya aku akan beroleh seorang anak, sedang isteriku adalah seorang yang mandul dan aku sendiri pula telah sampai had umur yang setua-tuanya?”” (8)

Apabila Allah ingin memakbulkan doanya, Nabi Zakaria mempersoal pula. Inilah perangai manusia; setelah meminta, akan mempersoal lagi:

قَالَ كَذَٰلِكَ قَالَ رَبُّكَ هُوَ عَلَىَّ هَيِّنٌ وَقَدْ خَلَقْتُكَ مِن قَبْلُ وَلَمْ تَكُ شَيْـًٔا

“Penyeru itu menjawab: Demikian keadaannya; Tuhanmu telah berfirman; “Hal itu mudah bagi-Ku kerana sesungguhnya Aku telah menciptakanmu dahulu, sedang engkau pada masa itu belum ada sebarang apa pun.”” (9)

Ia tidak mustahil bagi Allah. Sebab kuasa-Nya tidak terbatas. Kuasa kita ada batasnya walau hebat setara mana pun. Misalnya, kita gagah ketika muda namun apabila sudah tua, kita sudah pun tidak larat. 

Menurut ulamak, apabila kita bergantung dengan Allah, kita akan menjadi hebat. Sebab kita bergantung pada zat-Nya yang tiada batasan dan yang Maha Berkuasa. Berbeza apabila bergantung dengan makhluk yang ada hadnya. Sedangkan Allah pula, seisi dunia ini adalah milik-Nya. 

Nabi Musa berdepan dengan Firaun hanya dengan menggunakan sebatang tongkat. Baginda tidak takut kerana mengetahui adanya Allah di belakangnya yang menjaganya. Nabi Ibrahim pula tidak mempunyai apa-apa mukjizat selain tidak hangus dibakar oleh api. Baginda berjumpa dengan Raja Namrud dengan ‘tangan kosong’. Baginda juga tidak berasa gentar ketika memecahkan berhala-berhala. 

Sekiranya kita mengingati Allah ketika senang, Allah akan menolong kita ketika susah. Jika ada orang yang tidak kita kenali datang berjumpa dan meminta wang, sudah pasti kita tidak akan memberinya dengan mudah, bukan? Adapun orang yang kita sudah lama kenali, sekiranya dia kelihatan termenung, kita terus bertanya mengapa dan mengajaknya minum air. Begitu jugalah hubungan dengan Allah yang harus kita jaga. 

Solat jangan ditinggalkan walau di mana pun kita berada sama ada di masjid, rumah atau tempat kerja. Insya-Allah apabila kita susah, Allah akan ‘mencari dan bertanya khabar’ kita.

Kuliah Tafsir Mingguan disampaikan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah yang juga Naib Presiden PAS pada Isnin, 12 Jun 2023 di Masjid Assidiqin, Mukim Panchor, Kelantan. – HARAKAHDAILY 16/6/2023

Rujukan: 

[1] Berdasarkan kitab Injil, Herod Antipas telah berkahwin dengan Herodias, yang merupakan isteri kepada saudara tirinya iaitu Herod II (dan dalam masa yang sama juga adalah anak saudara kepada Herod Antipas). Perkahwinan ini telah ditentang oleh Nabi Yahya AS. Dalam satu majlis sambutan hari lahir Herod Antipas, Salome yang merupakan anak perempuan kepada Herodias, telah masuk menari sehingga memukau perhatian Antipas, lalu beliau menawarkan untuk memenuhi apa sahaja permintaannya. Salome pun meminta pandangan ibunya, dan si ibu pun meminta kepala Nabi Yahya AS sebagai hadiahnya.

- Advertisement -