Azizulhasni buktikan jagoan pecut Asia

- Advertisement -

Azizulhasni Awang menunggang dengan cemerlang untuk memenangi pingat emas acara pecut individu pada Kejohanan Asia di Nilai, Negeri Sembilan, malam ini.

- Advertisement -

Pelumba berusia 35 tahun yang menjalani pembedahan jantung tahun lalu, bangkit untuk menewaskan Ota Kaiya dari Jepun pada dua saingan terakhir di Velodrom Nasional untuk meraih semula gelaran pecut yang kali terakhir dimenanginya di Korea Selatan pada 2020.

Ini adalah pingat emas pertama Malaysia dalam peringkat elit peringkat Asia.

Kejohanan Asia tidak berlangsung pada 2021 kerana wabak Covid-19, manakala dalam edisi 2022 di New Delhi, India, Azizulhasni tidak mengambil bahagian kerana dalam proses pemulihan selepas pembedahan.

Sebelum itu, dia mengatasi cabaran juara pecut bertahan, Kento Yamasaki dari Jepun dalam dua saringan untuk mara ke final.

Ota yang memenangi pingat gangsa dalam kejohanan Trek Piala Negara di Kaherah awal tahun ini, mengatasi rakan sepasukannya, Kohei Terasaki dalam dua saringan.

Kemenangan ini juga merupakan gelaran kejuaraan Asia ke-11 untuk Azizulhasni.

Pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu berehat sehari sebelum kembali menyertai perlumbaan keirin bersama rakan senegara, Mohd Shah Firdaus Sahrom. – HARAKAHDAILY 16/6/2023

- Advertisement -