Pemuda PAS perlu kuasai media sosial

- Advertisement -


SHAH ALAM: Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad menitipkan lima pesanan buat jentera anak muda di bawah Pemuda PAS Malaysia dalam Ijtimak Tarbawi 9.0 yang berlangsung di Shah Alam hari ini.

- Advertisement -

Pertamanya kata beliau, pemuda mesti ada ilmu kerana perjuangan zaman sekarang akan berhadapan dengan mereka yang berilmu dan berpengetahuan.

Malah kata beliau, mereka yang juga bijak pandai dan mampu memberikan hujah berfakta serta dipenuhi data.

“Seharusnya pemuda juga berusaha untuk memantapkan lagi ilmu pengetahuan dalam diri agar tidak mudah ditipu dan mampu membalas fakta dengan fakta. Mana mungkin kita mampu memberi sesuatu sekiranya kita tidak memiliki sesuatu,” katanya yang juga pernah menjawat Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia.

Keduanya kata beliau pemuda hendaklah bertafakur iaitu berfikir dari sudut menambahkan keupayaan diri dan pengetahuan.

Tambah beliau, pemuda bukan sahaja perlu menguasai ilmu di dalam bidang agama, juga di dalam bidang pengurusan yang akan membantu menguruskan organisasi jemaah.

Ketiga kata beliau, pemuda mestilah ada kemahuan, dan mesti sentiasa ada cita-cita agar Islam mentadbir.

“Kita mahukan kuasa supaya kuasa itu digunakan sebaiknya bagi memartabatkan Islam dan meletakkan Islam di tempat yang tertinggi,” tegasnya.

Seterusnya ujar beliau, pemuda juga seharusnya membina semangat keusahawanan, apatah lagi dalam keadaan peluang pekerjaan di sektor awam dan swasta semakin berkurang dan saingan semakin tinggi.

Baginya, mewujudkan peluang pekerjaan kepada mereka yang memerlukan adalah salah satu cabang jihad.

Kelima Ustaz Idris menyeru pemuda agar proaktif di media sosial, kerana itulah perjuangan jihad di zaman ini.

“Jadilah mereka yang menulis memberi penerangan, ataupun mereka yang mempertahankan pimpinan dari serangan cyber troopers pihak lawan, atau pun mereka yang mencipta konten di Tiktok dan media sosial lain, demi menyebarkan kefahaman Islam yang selalu difitnah dan disalah erti,” tegasnya. – HARAKAHDAILY 17/6/2023

- Advertisement -