Kerajaan Madani belakangi Muzakarah Fatwa?

- Advertisement -

PENDIRIAN Kementerian Dalam Negeri menarik balik rayuan kes kalimah Allah iaitu kes Jill Ireland binti Lawrence Bill beberapa hari lalu jelas membelakangi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI).

Pendirian Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan pada tahun 2008 telah memutuskan bahawa kalimah Allah merupakan ‘kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan-Islam lain.’

Persoalannya adakah pendirian fatwa kebangsaan ini tidak mempunyai merit dalam pertimbangan yang dilakukan oleh Menteri Dalam Negeri selaku Menteri yang bertanggungjawab? 

Rakyat kini melihat satu demi satu dasar Kerajaan yang dikatakan Madani ini membelakangi pendirian golongan pemegang taruh utama pembuat dasar.

Daripada isu pemberian PrEP kepada golongan pengamal homoseksual, penyahsenarai nikotin daripada Akta Racun dan kini isu penggunaan kalimah Allah oleh golongan bukan-Islam.

Persoalan seterusnya yang berbangkit, siapa pengaruh di sebalik dasar-dasar Madani yang tempang ini? Bagaimana dasar-dasar yang membawa kepada pelbagai implikasi ini diputuskan tanpa libat urus yang betul dan dilihat dilaksanakan secara tergesa-gesa? 

Kerajaan terus menikus dengan seribu satu alasan untuk mempertahankan tindakannya yang tempang. Lama kelamaan struktur ini akan retak menanti belah. Masa akan menentukannya. 

Sekian.

“Sayangi Kedah Sejahtera”
“Malaysia Sejahtera”

YB DR AHMAD FAKHRUDDIN SYEIKH FAKHRURAZI
Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah
Ahli Parlimen Kuala Kedah
17 Mei 2023 / 26 Syawal 1444H – HARAKAHDAILY 17/5/2023

- Advertisement -
- Advertisement -