Sungai Petani mula terima bekalan air

Sungai Muda - Gambar fail
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kira-kira 126,000 rumah di Sungai Petani menerima bekalan air secara berperingkat sejak malam semalam apabila pelepasan air dari Empangan Beris ke Sungai Muda dilakukan tengah hari kelmarin.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, bekalan air dapat disalurkan lebih cepat daripada jangkaan sebenar berikutan kejadian yang menyebabkan penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak.

- Advertisement -

“Mengikut Lembaga Sumber Air Negeri Kedah (LSANK), 72 jam atau tiga hari diperlukan untuk menakung air ke paras dua meter bagi membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) berfungsi semula.

“Tetapi apa yang berlaku, air mula melimpah ke baraj dengan ketinggian yang diperlukan sejak malam semalam. Inilah doa saudara semua dan keberkatan penganjuran majlis yang baik mengundang rahmat dan keampunan Allah, tiada siapa tahu rahsia Allah,” katanya di Majlis Himpunan Belia Berselawat Malam Cinta Rasul di Sungai Petani, malam kelmarin.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira 251,800 akaun di daerah Kuala Muda, Kulim dan sebahagian kawasan Baling terjejas akibat penurunan paras air Sungai Muda secara mendadak akibat kerosakan pintu baraj Sungai Muda.

Kejadian itu mengakibatkan operasi LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal dan Kulim Hi-Tech terpaksa dihentikan sementara.

Menurut Muhammad Sanusi, kerosakan pengimbas mekanikal di satu daripada 14 pintu baraj Sungai Muda menyebabkan pintu baraj terbuka hingga menyebabkan air sungai mengalir ke laut.

Situasi itu mengakibatkan beberapa LRA tidak dapat mengepam air mentah untuk dirawat dan disalurkan kepada pengguna. Gangguan bekalan air di kawasan terbabit berlaku bermula kira-kira jam 7.45 pagi, Ahad lalu apabila LRA berkenaan berhenti beroperasi.

Sementara itu, Syarikat Air Darul Aman (SADA) giat melakukan penghantaran air ke kawasan yang terlibat. – HARAKAHDAILY 16/5/2023

- Advertisement -