Sasaran 40 emas ibarat mendaki Everest

- Advertisement -

Sasaran 40 pingat emas untuk kontinjen Malaysia kini ibarat mendaki Gunung Everest kerana walaupun bukan mustahil, tetapi menjadi semakin sukar untuk dicapai.

Kontinjen Malaysia mengumumkan sasaran pingat di Sukan SEA Kemboja, iaitu 40 pingat emas, 37 perak dan 64 gangsa. Namun, ketika sukan terbesar Asia Tenggara akan melabuhkan tirai penutup pada Rabu ini, pencapaian setakat ini ialah 29 emas, 42 perak dan 82 gangsa yang meletakkan negara di tangga ke-7.

- Advertisement -

Walaupun Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, mengakui sukar mencapai matlamat 40 emas, beliau masih mengharapkan kontinjen negara mencapai jumlah yang sama seperti temasya yang sama di Hanoi apabila Malaysia memenangi 39 pingat emas.

“Saya rasa ia sukar, tetapi kami akan menghampiri 40. Mungkin serupa dengan Hanoi, di mana kami hampir tidak berjaya. Saya harap atlet kita akan bekerja keras pada baki hari ini untuk memastikan kita menambah lebih banyak pingat emas,” katanya.

Namun, beberapa sukan yang sebelum ini menjadi lubuk emas kontinjen negara seperti olahraga, renang, terjun, silat dan karate sudah pun tamat.

Hanya tinggal beberapa acara yang atlet negara masih bertanding dan negara memerlukan 11 pingat emas untuk mencapai sasaran ditetapkan.

Lebih menghampakan, kontinjen negara kecundang kepada Singapura, jiran seberang tambak yang berjaya mengutip 43 emas dan situasi ini membayangkan kemungkinan negara sekali lagi akan berada di bawah jiran seberang tambak buat kali kedua berturut-turut selepas edisi 2021 di Vietnam, tahun lalu.

Tewas kepada Vietnam, Thailand, Indonesia dan Filipina, mungkin dapat difahami kerana negara berkenaan dengan saiz penduduk yang besar, sekali gus sumber atlet sukan yang lebih ramai. Prestasi Kemboja yang selalunya di bawah Malaysia, tetapi kali ini berada di tangga ke-4 pula kerana mempunyai kelebihan sebagai tuan rumah.

Atlet negara yang berjaya mengharumkan nama Malaysia di Sukan SEA Kemboja

Persoalannya, pencapaian Malaysia kali ini hanya sedikit lebih baik berbanding Myanmar, negara yang walaupun dilanda kemelut politik masih mampu meraih 20 emas.

Bagi Norza, Sukan SEA menjadi medan untuk mendedahkan atlet muda kepada saingan antarabangsa dan beliau berbesar hati melihat prestasi beberapa atlet muda.

“Kami telah mencapai objektif. Saya telah mengatakan bahawa Sukan SEA adalah pendedahan terbaik untuk atlet muda – saya katakan bahawa ia pada 2019 dan 2022. Sekarang kita telah melakukannya dan ini petanda baik untuk sukan pada 2025 dan 2027.

“Bagaimanapun, kita perlu menilai setiap persatuan selepas temasya itu. Kami perlu melihat prestasi setiap sukan,” katanya.

Ketika pegawai kontinjen Malaysia masih menaruh harapan untuk melihat kilauan emas pada hari-hari terakhir Sukan SEA, yang pasti suatu bedah siasat perlu dilakukan untuk menilai prestasi setiap sukan dan melakukan penambahbaikan sebelum keadaan terlambat.

Jika tidak, negara bukan sahaja tidak lagi mampu mengejar kuasa besar sukan Asia Tenggara seperti Vietnam, Indonesia, Thailand dan Filipina, malah ditinggalkan oleh Singapura dan hanya layak bersaing dengan Kemboja, Myanmar dan Laos pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -