Premis edar tembakau perlu mohon lesen

- Advertisement -

KOTA BHARU: Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) memberi tempoh hingga 31 Disember hadapan kepada pemilik premis untuk membuat permohonan mendapatkan lesen bagi mengedar tembakau atau keluaran tembakau terutamanya rokok.

- Advertisement -

Ketua Pengarahnya, Idris Mohd Salleh berkata, permohonan mendapatkan lesen dalam tempoh tersebut tanpa dikenakan bayaran.

Katanya setakat ini pihaknya mengenal pasti hampir 60,000 premis di seluruh negara yang perlu dilesenkan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 16,000 lesen mengedar tembakau atau keluaran tembakau tanpa bayaran dikeluarkan sepanjang 1 Januari hingga sekarang.

“Kita mempunyai dua pendekatan iaitu tahun ini kita melesenkan tanpa yuran dan menerangkan pendekatan yang diambil, jadi bermula tahun 2024 baru kita melesenkan dengan yuran,” katanya kepada pemberita sempena majlis Hari Raya LKTN di sini petang semalam.

Idris juga berkata, keputusan itu dibuat kerajaan untuk melaksanakan perlesenan tembakau, di mana lesennya berkuat kuasa tahun ini tanpa dikenakan yuran.

Menurutnya juga pelaksanaan penguatkuasaan lesen tersebut merupakan salah satu usaha untuk mencegah penjualan dan penggunaan keluaran tembakau secara tidak sah.

“Pemilik premis berangkai dan individu boleh membuat permohonan bagi mendapatkan lesen tersebut secara dalam talian di portal perlesenan LKTN,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -