Polis Kelantan tambah MPV ronda kawasan sempadan

- Advertisement -

PASIR MAS: Polis Kelantan merancang menambah kenderaan rondaan polis (MPV) untuk meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan sempadan.

- Advertisement -

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Muhamad Zaki Harun berkata, penambahan kenderaan itu diharap dapat meningkatkan logistik polis Kelantan.

Katanya, penambahan MPV baharu akan dapat meningkat dan memperketatkan kawalan sempadan bagi membanteras sebarang aktiviti yang bercanggah dengan undang-undang.

“Di Kelantan kita masih lagi mengekalkan sistem tiga lapisan kawalan termasuk mengadakan sekatan kawalan di lokasi terlibat.

“InsyaAllah, kita juga merangka dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk memastikan ia dapat dikawal,” katanya pada sidang media pada majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Pasir Mas di sini, hari ini. (Foto atas)

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kelantan, DCP Victor Sanjos, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, SAC Dato’ Mohd Nor Yazhid Idris dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil ACP Yusri Mahmud.

Muhamad Zaki juga berkata, pihaknya berusaha memperkasa kawalan sempadan negara menerusi penggunaan teknologi seperti kamera litar tertutup (CCTV) selain penggera di kawasan terlibat.

“Dengan adanya peralatan kawalan itu diharap kita dapat mengawal sempadan dengan lebih berkesan dan dapat menjadikan bahan bukti sekiranya berlaku kes-kes tertentu,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/5/2023

- Advertisement -