Genap 5 tahun Dr Samsuri terajui Terengganu

Penulis (kiri) bersama dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri.
- Advertisement -

SOLAT Subuh berjemaah di rumah pagi ini lebih awal daripada iqamah di masjid. Perlu segera ke kediaman rasmi Menteri Besar Terengganu di KualaTerengganu. Sesi fotografi sempena Aidilfitri staf Pejabat MB dan mereka yang berkaitan dibuat jam 8 pagi ini.

- Advertisement -

Usai sesi fotografi, terus pula ke Wisma Darul Iman untuk program sambutan hari raya warga Wisma Darul Iman. Dalam ucapan ringkas YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri di hadapan warga Wisma Darul Iman, beliau mengingatkan bahawa hari ini 10 Mei 2023, genaplah tempoh lima tahun beliau menjadi Menteri Besar Terengganu apabila pertama kali beliau mengangkat sumpah jawatan MB pada 10 Mei 2018.

Beliau juga menyebut bahawa pihak kerajaan berusaha membuat yang terbaik untuk rakyat dan negeri Terengganu. Jika ada yang tidak betul, itu tidak disengajakan, bukannya ‘sengeleng’ kata orang Terengganu.

Jika ada kesilapan dari beliau, anggota exco dan pentadbir yang lain, beliau juga mewakili semua memohon maaf dari warga Wisma Darul Iman, kerana tiada yang sempurna melainkan Allah sahaja.

Begitu juga, jika ada apa-apa cadangan dari sesiapa dan mana-mana pihak, beliau juga bersedia mendengar, tetapi tidak semestinya diterima kerana perlu melihat dari sudut fiqh awlawiyyat iaitu fiqh keutamaan, kepentingan rakyat dan pelbagai sudut.

Saya juga secara peribadi mengambil inisiatif membuat slot program Baldatun Tayyibah wa Rabbun Ghafur (Negeri yang baik dan Tuhan Yang Maha Pengampun), dahulunya di radio Manis.fm dan kemudian beralih ke TV Urusetia Penerangan Darul Iman UPDI, mengambil contoh-contoh pemerintahan yang adil, program yang dibuat untuk negeri dan rakyat oleh Nabi SAW serta Khulafa ar-Rasyidin. Saya juga menulis di Harakahdaily secara berkala di bawah tajuk: Keadilan Islam Dalam Lipatan Sejarah.

Barangkali ada sesuatu manfaat yang boleh diambil dari sirah Nabi SAW dan Khulafa ar-Rasyidin ini oleh para pentadbir di Terengganu yang tercinta ini untuk diterap, diaplikasi, disesuaikan atau diambil semangatnya untuk kebaikan rakyat dan negeri Terengganu Darul Iman ini.

Lima tahun berlalu dengan cepat. Janji 20 perkara dalam manifesto PRU14 telah ditunaikan. Cakap serupa bikin. Bukan seperti kelompok lain, cakap hari ini lain, esok buat lain. Rakyat tidak suka pemerintah seperti ini. Alhamdulillah, setakat ini pentadbiran dan pemerintahan Terengganu di bawah teraju YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berjalan baik. Yang sempurna hanya bagi Allah sahaja.

Mudah-mudahan dalam Pilihan Raya Negeri tidak lama lagi, rakyat akan terus memberikan kepercayaan kepada PAS dan YAB Dr Sam untuk terus memimpin Terengganu, insya-Allah.

Di Dewan Besar Wisma Darul Iman, majlis hari raya masih berlangsung. ‘Hadis Melayu’: ‘Puasa sebulan, raya sebulan’. Nanti lepas raya, ada pilihan raya. Pilihan sudah ada. PAS dan PERIKATAN NASIONAL tentunya.

Catatan: USTAZ NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK
Pegawai Khas (Agama), Pejabat Menteri Besar Terengganu – HARAKAHDAILY 10/5/2023

- Advertisement -