Napoli juara Serie A, ulangi kegemilangan Maradona

Penyokong meraikan kejayaan Napoli menjuarai Serie A
- Advertisement -

Napoli menjuarai Serie A buat kali ketiga, gelaran pertama kelab itu dalam tempoh 33 tahun selepas keputusan seri 1-1 di Udinese memberikan pasukan itu kedudukan yang tidak mampu dipintas kelab lain.

Kejayaan pasukan Naples itu menamatkan penantian lama bandar itu untuk Scudetto sejak pemain hebat Argentina, Diego Maradona membawa mereka meraih dua kejuaraan pada musim 1986-87 dan 1989-90.

- Advertisement -

Gol separuh masa kedua Victor Osimhen memastikan Napoli memenangi kejuaraan dengan baki lima perlawanan musim ini.

“Saya terharu. Ia suatu perasaan menakjubkan. Kami menunggu bertahun-tahun untuk saat ini dan untuk dapat memberikan Scudetto kepada Neapolitan adalah sesuatu yang tidak akan kami lupakan,” kata Osimhen.

Napoli mempunyai 80 mata, memastikan kedudukan mereka di puncak carta. Lazio yang berada di tempat kedua juga berbaki lima perlawanan, berada 16 mata di belakang Napoli.

Penyokong di Stadio Friuli memegang sepanduk besar yang dihiasi imej mendiang Maradona, dengan sabar menantikan Scudetto yang telah lama diidamkan.

Sandi Lovric melemahkan semangat penyokong Napoli apabila menjaringkan gol pembukaan selepas 13 minit dengan rembatan tepat yang menerjah sudut kanan gawang.

Selepas jaringan Udinese, Napoli meningkatkan serangan dan pada minit ke-53, Osimhen mencetuskan sambutan meriah dalam kalangan penyokong kelab itu apabila merembat masuk gol penyamaan.

Penjaga gol Udinese, Marco Silvestri melakukan aksi menyelamat untuk menghalang sepakan separuh voli Piotr Zielinski, mengekalkan kedudukan 1-1 dan mendebarkan penyokong Napoli.

Ketika wisel penamat dibunyikan, penyokong Napoli meluru ke padang untuk meraikan peristiwa penting itu bersama pemain.

“Kami adalah pasukan yang tidak diingini pada awal musim. Tidak ramai percaya kepada kami, namun sejak awal musim kami mempunyai skuad hebat ini yang boleh memberikan Scudetto,” kata Osimhen. – REUTERS

- Advertisement -