Ronaldo atlet paling kaya

Messi, Mbappe dan Ronaldo, mengungguli senarai atlet paling kaya
- Advertisement -

Cristiano Ronaldo menjadi atlet berpendapatan paling tinggi dunia selepas perpindahannya ke kelab Arab Saudi, Al-Nassr, diikuti dua penyerang Paris St Germain (PSG), Lionel Messi dan Kylian Mbappe.

Menurut Forbes, Ronaldo, yang menyertai kelab bola sepak Arab Saudi dengan kontrak sehingga 2025 selepas meninggalkan Manchester United tahun lalu, memperoleh AS$136 juta dengan gaji tahunannya meningkat kepada kira-kira AS$75 juta.

- Advertisement -

Media menganggarkan kontrak Ronaldo bernilai lebih 200 juta Euro (AS$219.98 juta).

Penyerang PSG, Messi, 35, berada di kedudukan kedua selepas membawa pulang AS$130 juta, manakala rakan sepasukan kelab dan kapten Perancis, Mbappe, atlet paling muda dalam senarai pada usia 24 tahun, memperoleh AS$120 juta untuk menduduki tempat ketiga.

Pemain bola keranjang Los Angeles Lakers, LeBron James (AS$119.5 juta) dan petinju Mexico, Canelo Alvarez (AS$110 juta) melengkapkan senarai lima teratas.

Dua pemain golf, iaitu bekas pemain nombor satu dunia, Dustin Johnson (keenam dengan AS$107 juta), manakala Phil Mickelson (ketujuh dengan AS$106 juta).

Juara NBA (Persatuan Bola Keranjang Kebangsaan) empat kali, Stephen Curry (AS$100.4 juta) dan Kevin Durant dari Phoenix Suns (AS$89.1 juta) ialah dua lagi pemain bola keranjang yang tersenarai.

Bekas pemain tenis, Roger Federer (AS$95.1 juta) adalah satu-satunya atlet bersara yang berada dalam 10 teratas.

Forbes berkata, angka pendapatan atlet berkenaan termasuk semua wang hadiah, gaji dan bonus yang diperoleh dalam 12 bulan lalu, manakala pendapatan luar adalah anggaran tawaran penajaan, yuran penampilan, pendapatan pelesenan dan pulangan tunai dari perniagaan yang mereka kendalikan. – REUTERS

- Advertisement -