MFL akui ada tunggakan bayaran wang kemenangan kepada JDT

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan terdapat tunggakan bayaran wang kemenangan pada musim 2020 kepada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dan dijangka dapat dilangsaikan sepenuhnya tahun ini.

- Advertisement -

Presidennya Datuk Ab Ghani Hassan berkata pembayaran ‘hutang’ tersebut bakal dilunaskan secara berperingkat pada Ogos dan Oktober ini, namun enggan memaklumkan jumlah tunggakan bayaran kepada kelab terbabit.

“Sebenarnya MFL memang mempunyai wang tertunggak dengan JDT, ini berkenaan hadiah wang tunai pada musim 2020 yang lepas dan saya ketika itu Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL telah mendapat perkenan daripada pemilik kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk melambatkan bayaran.

“Tunku Ismail memahami keadaan ekonomi dan kewangan MFL yang kehilangan wang tajaan kira-kira RM30 juta akibat pandemik COVID-19, bayaran itu akan dibuat dan pada tahun ini dan tunggakan hanya dengan JDT sahaja, pasukan lain tiada,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 2023 di sini hari ini.

Dalam pada itu, menurut Ab Ghani MFL telah membuat pembayaran kepada JDT sebanyak RM250,000 pada bulan lepas.

Sebelum ini, Tunku Ismail mendedahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mempunyai hutang lama yang belum dilunaskan dan mahu ia ditolak sekiranya JDT dikenakan denda susulan tiga kejadian membakar suar oleh penyokongnya dalam saingan Liga Super.

Bagaimanapun, dua hari lepas Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin menafikan badan induk itu mempunyai hutang dengan JDT, sebaliknya memaklumkan hutang yang dimaksudkan oleh Tunku Ismail itu mungkin membabitkan pembayaran hadiah kemenangan yang masih belum dijelaskan sepenuhnya oleh MFL kepada JDT.

Sebelum ini, sekumpulan penyokong JDT  telah membakar suar tiga kali selepas perlawanan membabitkan kelab itu sekali gus melanggar peraturan Artikel 70.1 Kod Tataterbit FAM yang melarang penyokong membawa masuk barang larangan ke dalam stadium.

Tindakan membakar suar tersebut dilakukan ketika Harimau Selatan itu menang dua perlawanan Liga Super masing-masing ke atas Sabah FC pada 31 Mac dan Kedah Darul Aman (KDA) FC (9 April) serta aksi Piala FA berdepan PDRM FC (14 April). – BERNAMA

- Advertisement -