Buat pencari nafkah, anda layak diangkat sebagai wira

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Buat semua yang sedang berjuang mencari nafkah untuk diri dan keluarga, anda sememangnya layak diangkat sebagai wira,” kata Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad.

- Advertisement -

Menurutnya, besar tugas dan tanggungjawab yang digalas demi kesenangan dan keselesaan insan tersayang.

“Anda tahu ada perut yang perlu diisi, ada nafkah yang perlu ditunai dan ada tanggungjawab yang perlu dilaksana,” ujarnya dalam hantaran menerusi Facebook beliau, hari ini sempena Hari Pekerja.

Beliau berkata, walau apa jua pekerjaan yang anda lakukan selagi ia tidak bertentangan dengan syarak, maka kerjakan dengan sehabis baik.

“Usah malu dengan pekerjaan yang kita lakukan kerana pekerjaan itu halal dan kita tahu ada insan yang sedang memerlukan khidmat dan kudrat kita,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai.

Idris juga menasihatkan supaya jangan culas akan setiap tugas yang diberi dan meletakkan sepenuh komitmen serta integriti mengerjakan tugas kerana bekerja itu juga ibadah.

Tambahnya, bersempena Hari Pekerja, luangkan masa tersayang bersama-sama keluarga tercinta.

“Raikan kegembiraan ini dengan penuh kesyukuran.

“Selamat Hari Pekerja buat semua. Semoga terus kuat mengerjakan tugas dan berbahagia selalu di samping insan tersayang,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 1/5/2023

- Advertisement -