Sunnah-sunnah pada Hari Raya Aidilfitri

- Advertisement -

SUNNAH adalah cahaya. Sesiapa yang mengamalkan sunnah nescaya hatinya akan hidup dan jiwanya bersinar. Allah menyebutkan mengenai cahaya dan kehidupan di banyak tempat di dalam al-Quran. Ia menjadi salah satu sifat yang ada bagi orang beriman.

Justeru dalam menyambut keindahan Aidilfitri yang bakal tiba, marilah sama-sama kita memuliakannya dengan menghidupkan sunnah-sunnah yang ditinggalkan kepada kita oleh kekasih kita Nabi Muhammad S.A.W.

Berikut adalah sunnah-sunnah yang boleh diamalkan di sepanjang bulan Syawal:

1. Menghidupkan malam Aidilfitri dengan memperbanyakkan ibadah dan amal soleh. Menjadi amalan para salafussoleh menghidupkan malam dua hari raya dengan ibadah. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang bermaksud, “Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya ikhlas kerana Allah nescaya hatinya tidak mati pada hari yang mati segala hati.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah).

Maka, hidupkanlah malam Aidilfitri nanti dengan mendirikan solat-solat sunat, membaca al-Quran, berzikir, memperbanyak sedekah dan amalan-amalan soleh yang lain.

2. Mandi sunat di pagi Aidilfitri. Antara mandi sunat yang diamalkan oleh Rasulullah S.A.W adalah mandi sunat Aidilfitri. Ia amalan yang mudah namun semakin dilupakan oleh umat pada hari ini. 

Ali Bin Abi Talib R.A pernah ditanya mengenai mandi lalu mengatakan yang bermaksud, “… mandi yang diharuskan adalah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” (Hadis Riwayat Al Baihaqi)

3. Memakai pakaian yang terbaik di pagi hari raya. kita dianjurkan memakai pakaian yang terbaik yang kita ada di pagi hari raya. Pakaian yang baik adalah subjektif pada setiap individu. Ia tidak semestinya pakaian baru. Cukuplah pakaian yang elok dan menutup aurat dari sekian banyak koleksi pakaian yang kita ada. 

Imam Syafie berkata “aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya iaitu hari jumaat, dua hari raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dan tempat yang diadakan majlis. Dia hendaklah memakai pakaian yang bersih dan memakai wangi-wangian.”

4. Menjamah makanan sebelum keluar menunaikan Solat Sunat Aidilfitri. Satu lagi sunnah yang mudah namun ramai yang lupa. Berbeza dengan Aidiladha, kita disunatkan menjamah makanan walaupun sedikit sebelum keluar menunaikan Solat Sunat Aidilfitri.

Anas Bin Malik berkata yang bermaksud, “Nabi S.A.W tidak keluar pada pagi Aidilfitri sehinggalah Nabi S.A.W menjamah beberapa biji kurma.” (Hadis Riwayat Al Bukhari)

5. Memakai pakaian terbaik di pagi raya. Kita disunnahkan memakai pakaian terbaik yang kita ada. Pakaian terbaik adalah subjektif. Ia tidak semestinya baru. Tetapi pakaian yang bersih, elok dan menutup aurat yang ada di dalam koleksi pakaian kita.

Imam Syafie berkata “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis

perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian”. 

- Advertisement -

6. Berjalan kaki menuju ke tempat Solat Sunat Aidilfitri. Berjalan kaki ke masjid, surau atau ke tempat Solat Sunat Aidilfitri di pagi hari raya adalah lebih utama. Namun, ia bukanlah satu larangan bagi sesiapa untuk menaiki kenderaan ke masjid.

Ali Bin Abi Talib RA berkata yang bermaksud, “Termasuk sunnah, iaitu berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum pergi.” (Hadis Riwayat At Tirmizi)

7. Menukar jalan ke tempat solat ketika pergi dan balik. Menjadi satu sunnah juga untuk menggunakan jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari tempat solat.

Ia berdasarkan hadis daripada Jabir R.A yang menceritakan bahawa yang bermaksud, “Nabi S.A.W biasanya menukar atau berbeza jalan pergi dan pulang apabila di hari raya“. (Hadis Riwayat Al Bukhari)

8. Memperbanyakkan takbir membesarkan Allah. Kita disunnahkan memperbanyakkan laungan takbir sebagai cara mengagungkan Allah dan menghidupkan syiar Islam. Takbir raya Aidilfitri bermula selepas terbenam matahari pada malam Hari Raya Aidilfitri sehingga takbiratulihram solat hari raya.

Firman Allah S.W.T yang bermaksud, “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir atas petunjuk yang diberikan kepadamu supaya kamu bersyukur.” (Al-Baqarah: 185)

9. Berziarah dan merapatkan ukhuwah sesama kita. Amalan ziarah-menziarahi merupakan amalan yang digalakkan agar dapat menghubung serta mengeratkan hubungan sesama Muslim tidak kita tua atau muda.

Sabda Nabi S.A.W yang bermaksud, “Barangsiapa yang suka untuk diperluaskan baginya rezekinya, dan ditangguhkan (dipanjangkan) umurnya, maka hendaklah dia menyambung hubungan persaudaraannya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

10. Mengucapkan selamat dan mendoakan antara satu sama lain. Ucapan yang menjadi amalan Rasulullah S.A.W dan para Solihin yang sangat digalakkan untuk kita mengamalkan di Aidilfitri adalah ‘Taqabbalallahu minna wa minkum’ yang bermaksud ‘Semoga Allah menerima amalan kami dan amalan kamu.’

Al Baihaqi meriwayatkan satu Hadis yang bermaksud “Berkata Wathilah, Aku bertemu Rasulullah S.A.W pada pagi hari raya dan aku katakan kepada baginda ‘taqabbalallahu minna wa minkum’ baginda menjawab ‘Ya, taqabbalallahu minna wa minka” (Hadis Riwayat Al-Baihaqi).

Semoga Aidilfitri pada kali ini dapat kita sambut dengan menghidupkan amalan-amalan sunnah Nabi Muhammad S.A.W. Semoga bermanfaat buat semua. Salam Aidilfitri, taqabbalallahu minna wa minkum.

NURHAFIZUL BADRUL HISHAM 
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan – HARAKAHDAILY 21/4/2023

- Advertisement -