LGBT tabiat songsang

- Advertisement -

LGBT ialah lesbian, gay, biseksual dan transgender. Istilah lesbian di dalam agama Islam disebut dengan al-sihaq (السحاق) iaitu perempuan yang melakukan hubungan seksual dengan sesama perempuan. Gay di dalam agama Islam disebut dengan istilah al-liwath (اللواط)  iaitu  orang yang melakukan perbuatan seperti perbuatan kaum Nabi Luth, pelakunya disebut al-luthiyyu (اللوطي) iaitu lelaki yang melakukan hubungan seksual dengan lelaki. Biseksual pula ialah lelaki atau wanita yang melakukan aktiviti seksual bersama mana-mana jantina sejenis atau berlawanan jantina. Transgender pula ialah lelaki atau wanita yang berkeinginan tampil berlawanan dengan jenis kelamin yang dimiliki sehingga boleh menyebabkan transeksual iaitu mengubah alat kelamin.

- Advertisement -

Perbuatan LGBT ini termasuk dalam perbuatan dosa besar kerana ia termasuk dalam perbuatan keji yang merosakkan keperibadian, moral dan agama. Hal ini sesuai dengan firman Allah dalam surah al-A’raf ayat 80 dan 81 yang bermaksud: “Dan (kami juga telah mengutus) Luth ketika dia berkata kepada mereka: “Mengapa kamu mengerjakan perbuatan keji, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini)?”. Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsumu (kepada mereka), bukan kepada wanita, malah kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”

Allah telah melarang kaum Nabi Luth melakukan perbuatan ini tetapi mereka tetap melakukannya, akhirnya Allah memberikan hukuman kepada mereka dan menterbalikkan negeri mereka, sehingga penduduk Sodom (di sebelah timur Laut Mati atau di Jordan sekarang), termasuk isteri Nabi Luth yang menyokong dan bersekongkol dengan pengamal-pengamal liwat, tertanam bersama-sama dengan terbaliknya negeri itu. Hanya Nabi Luth dan pengikut-pengikutnya yang soleh dan menjauhkan diri dari perbuatan homoseks terselamat daripada azab itu.

Ulama fiqh sepakat mengharamkan homoseks berdasarkan kaedah fiqhiyah (bermaksud):“Asal pada hubungan seks adalah haram.”

Ulama fiqh juga sepakat mengharamkan perbuatan lesbian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Abi Sa’id al-Khudri bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Janganlah lelaki melihat aurat lelaki lain dan janganlah wanita melihat aurat wanita lain dan janganlah bersentuhan lelaki dengan lelaki lain di bawah sehelai selimut/kain, dan janganlah pula wanita bersentuhan dengan wanita lain di bawah sehelai selimut/kain”. (Riwayat Muslim)

Dari dalil di atas dapat disimpulkan bahawa perbuatan LGBT adalah haram hukumnya dan bercanggah dengan syariat Islam. Apa yang terjadi sekiranya lelaki berkahwin dengan lelaki dan perempuan berkahwin dengan perempuan? Sanggupkah kita menghadapi bala daripada Allah SWT sebagaimana yang diturunkan kepada umat Nabi Luth, permukaan bumi diterbalikkan ke bawah perut bumi naik ke atas dan didatangkan hujan batu ke atas kita?

Haramnya LGBT bukan hanya kerana merosakkan kemuliaan dan martabat kemanusiaan, lebih besar lagi, runtuhnya sebuah system bermasyarakat yang rukun dan harmoni. Allah SWT juga memurkai tingkah laku lelaki yang mempunyai sifat keperempuanan dan sebaliknya, sebagaimana hadis daripada Ibnu Abbas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah tidak akan melihat kepada seorang lelaki yang mendatangi seorang lelaki ataupun seorang perempuan (melakukan hubungan seks) melalui dubur).” (Riwayat al-Tirmizi)

Dalam hadis yang lain yang juga diriwayatkan oleh Ibnu Abbas Radiallahuanhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Rasulullah SAW melaknat orang-orang lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki.” (Riwayat al-Bukhari)

Hadis-hadis ini menunjukkan bahawa lelaki tidak boleh menyerupai perempuan dan sebaliknya. Tidak di kutuk oleh Allah perbuatannya itu melainkan kerana perbuatan itu dilarang.

Haram melakukan LGBT bahkan jauh lebih merbahaya dan boleh membawa kepada kerosakan akidah bagi orang yang mempertahankannya. Kecelaruan emosi dan seksual mestilah diselesaikan dengan merujuk kepada nas al-Quran dan al-Hadis, tidak boleh memperturutkannya dengan hujah akal semata-mata kerana akal manusia itu terbatas. Firman Allah dalam surah al-Anbiya’ ayat 35 yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa akan merasai mati. Kami akan menguji kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai cubaan (yang sebenar-benarnya). Dan hanya kepada Kamilah kamu dikembalikan.”

Justeru, orang Islam wajib mengikuti panduan wahyu sepenuhnya, bukan mengubah fahaman wahyu berdasarkan logik akal semata-mata kerana akidah yang benar mesti berlandaskan panduan dan pemahaman terhadap al-Quran, hadis dan ijmak ulama’.

Orang Islam wajib menjauhi fahaman dan pemikiran liberalisme selaras dengan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor yang menyatakan Sisters in Islam (SIS) dan mana-mana individu, pertubuhan atau institusi yang berpegang kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam. Mana-mana individu atau kumpulan yang menyatakan sokongan terhadap hak asasi LGBT adalah haram kerana perbuatan yang menyokong kepada kemungkaran boleh merosakkan akidah.

LGBT adalah perbuatan yang mungkar dan wajib dicegah. ia berdasarkan firman Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 67 yang bermaksud: “Orang-orang munafik lelaki dan perempuan, setengahnya adalah sama dengan setengahnya yang lain; mereka masing-masing menyeru kepada perbuatan yang mungkar, dan melarang dari perbuatan yang baik.”

Bahkan Rasulullah SAW mengingatkan bahawa mereka yang tidak mencegah kemungkaran sedangkan dia mampu, maka dibimbangi akan ditimpa azab dari Allah. Firman Allah SWT dalam surah al-Anfal ayat 25 (maksudnya): “Dan jagalah diri kamu daripada (berlakunya) dosa (yang membawa bala bencana) yang bukan sahaja akan menimpa orang-orang yang zalim di antara kamu secara khusus (tetapi akan menimpa kamu secara umum) dan ketahuilah bahawa Allah Maha berat azab seksa-Nya.”

Sehubungan dengan itu, demi menjaga agama dan akidah umat Islam, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor tidak berkenan terhadap apa-apa jenis aktiviti atau perhimpunan mempertahankan dan menuntut hak-hak LGBT diadakan di Negeri Selangor. Semua umat Islam tidak boleh melibatkan diri secara langsung atau tidak langsung terhadap aktiviti mempromosi ataupun kumpulan yang melibatkan apa-apa perkara tentang LGBT.

Mengakhiri khutbah ini, marilah kita menghayati tausiah berikut:

1. Kehidupan seorang Muslim mengikut peraturan agama bukan agama itu diperaturkan secara sesuka hati.

2. Ketaatan terhadap ajaran agama Islam bukan menggunakan logik akal semata-mata kerana akal itu sangat terbatas.

3. Allah yang menciptakan makhluk maka Allah lebih tahu apa yang baik atau tidak baik ke atas makhluk-Nya.

4. Orang Islam yang beriman dan bertakwa wajib menolak LGBT dan menolak kumpulan liberal yang mendukung tabiat songsang ini. Khalifah Abu Bakar pernah memerintah membakar pelaku homoseksual supaya mereka merasa kepanasan api dunia sebelum kepanasan api neraka.

5. Pengamal-pengamal LGBT dan yang mempertahankannya hendaklah kembali bertaubat, menyesal dan tidak mengulangi perbuatan haramnya. Kecenderungan seks songsang adalah tabiat yang boleh diubah melalui mujahadah nafsu yang berterusan.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang membinasakan, maka amatlah buruknya hujan azab yang menimpa orang-orang yang telah diberi amaran.” (Surah al-Naml: 58)

Petikan teks khutbah Jumaat yang diterbitan oleh Unit Khutbah Bahagian Pengurusan Masjid Jabatan Agama Islam Selangor yang dibaca pada 24 Mac 2023 l 2 Ramadan 1444H.

- Advertisement -