Golongan pendusta, Ruwaibidhah kelirukan masyarakat

- Advertisement -

SAYYIDUNA Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

- Advertisement -

سَيأتي على الناسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ ، يُصَدَّقُ فيها الكَاذِبُ ، و يُكَذَّبُ فيها الصَّادِقُ ، و يُؤْتَمَنُ فيها الخَائِنُ ، وَيُخَوَّنُ فيها الأَمِينُ ، ويَنْطِقُ فيها الرُّوَيْبِضَةُ . قيل : وما الرُّوَيْبِضَةُ ؟ قال : الرجلُ التَّافَهُ ، يتكلَّمُ في أَمْرِ العَامَّةِ.

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan dan tipu daya, kata-kata pendusta dibenarkan (dipercayai) dan didustakan percakapan orang yang benar, diberi amanah kepada pengkhianat dan dikhianati orang-orang yang amanah. Kemudian akan berkata-katalah golongan al-Ruwaibidhah. Baginda S.A.W ditanya : Siapakah golongan al-Ruwaibidhah ? maka Baginda S.A.W menjawab : Orang yang bodoh lagi fasik yang berbicara (mengurus) berkaitan perkara umum yang besar”.

(Riwayat Ibn Majah, kitab al-Fitan, bab zaman yang dahsyat: Sahih)

Para ulamak telah menafsirkan beberapa makna bagi al-Ruwaibidhah, antaranya ialah:

Al-Ruwaibidhah adalah sighah tasghir bagi Rabhidah (رابضة) dan ta’ marbuthah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah.

Al-Rabhidah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. [Lihat : Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 2 : 494]

Riwayat di dalam Musnad Ahmad mengatakan: Orang yang bodoh bercakap perkara umum. [Musnad Ahmad, no. Hadis 7912]

Riwayat di dalam Syarh Musyhkil al-Athar : Orang yang fasiq bercakap perkara umum. [Syarh Musyhkil al-Athar, no. Hadis 13299]

Imam al-Syatibi di dalam al-‘Itisham : Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut.

Boleh disimpulkan Al-Ruwaibidhah adalah golongan yang tidak memahami Islam secara mendalam tetapi ingin bercakap dan menguruskan umat Islam.

Hadis di atas merupakan perkhabaran dan peringatan daripada Rasulullah S.A.W kepada seluruh umat Baginda mengenai perihal akhir zaman. Wujudnya keadaan yang mengelirukan sehingga manusia tidak dapat mengenali dan membezakan di antara kebenaran dengan kebatilan.

Keadaan ini mengakibatkan ramai orang terpinga-pinga sehingga tidak nampak hala tuju yang sepatutnya diikuti olehnya.

Perkara ini berlaku akibat jauhnya manusia pada waktu tersebut daripada petunjuk Allah S.W.T. Agama dipandang sepi, para ulamak dipinggirkan. Dunia menjadi keutamaan. Al-Quran dijadikan sebagai bahan bacaan untuk diperdengarkan sahaja, bukan untuk dihayati. Majlis ilmu menjadi hambar, kemungkaran mendapat liputan dan sambutan yang hangat. Segala urusan kehidupan cuba dipandu dengan akal sahaja.

Keadaan-keadaan ini telah wujud di zaman ini. Sehingga ada generasi yang baharu merasakan itulah kebenaran kerana mereka dilahirkan dalam situasi sedemikian.

Di dalam riwayat Hadis yang lain pula Baginda Rasulullah S.A.W mengingatkan mengenai penyaksian palsu. Penyaksian palsu yang diada-adakan untuk membenarkan suatu kebatilan. Fitnah (ujian) yang amat dahsyat terhadap umat Islam yang teguh di atas prinsip kebenaran.

Justeru bagi menghadapi keadaan yang boleh mengelirukan ini, umat Islam perlu kembali memahami dan menghayati al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah S.A.W melalui bimbingan para alim ulamak yang teguh di atas prinsip kebenaran. Perbanyakkan zikrullah, istighfar, tawakal dan doa memohon petunjuk Allah serta perlindungan-Nya daripada terjebak ke jalan yang batil. Semoga kita sentiasa di dalam pemeliharaan Allah S.W.T menuju redha dan kasih sayang-Nya. Aamiin.

“Malaysia Sejahtera”

ABU IRFAN MUHAMMAD AL-URDUNI,
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Johor
20 Syaaban 1444
13 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 13/3/2023

- Advertisement -