Di mahkamah, sepatutnya semuanya sama

- Advertisement -

Keadilan Islam dalam lipatan sejarah (Siri 68)

SEORANG Yahudi mengadu kepada Umar al-Khattab mengenai Saidina Ali ketika beliau memerintah. Apabila Umar meletakkan kedua-duanya di hadapannya, Umar memanggil Yahudi dengan namanya, sedangkan Umar memanggil Ali dengan gelarannya ‘Wahai AbalHasan!’

- Advertisement -

Kelihatan kesan marah pada wajah Saidina Ali. Umar berkata: ‘Adakah engkau benci lawanmu itu Yahudi, dan engkau berada bersamanya di hadapan satu penghakiman?

Ali menjawab: Tidak. Namun aku marah kerana engkau tidak menyamakan antara aku dan dia. Engkau bercakap dengan memanggil namanya. Engkau bercakap denganku menggunakan nama gelaran aku (AbulHasan).

Al-Bayan al-Fasil baina al-haq walbatil, Ali Fikri ms 166.

Ada beberapa pelajaran yang boleh kita ambil dari kisah ringkas ini:

  1. Dalam sesuatu masyarakat, mustahil tidak berlaku pertelingkahan, perselisihan dan perbalahan. Ia adalah asam garam kehidupan bermasyarakat.
  2. Dalam sebuah negara Islam, orang Yahudi boleh tinggal secara aman, dengan syarat membayar jizyah (cukai keselamatan) dan tunduk kepada sistem Islam yang ada. Sebaliknya, kita melihat orang Islam tidak dapat hidup dengan aman di bawah pemerintahan Yahudi. Apatah lagi apabila Yahudi yang memerintah itu sebenarnya merampas tanah dan kuasa dari umat Islam.
  3. Dalam kes di atas, orang Yahudi ada isu yang perlu diselesaikan antaranya dan antara Saidina Ali. Ini bererti, orang yang dianggap VIP seperti Saidina Ali juga boleh dibawa ke mahkamah. Namun yang penting, biarlah cara dibawa ke mahkamah itu menurut peraturan yang benar. Bukannya secara terpilih yang zalim, menyelewengkan fakta atau kerana dia itu musuh kami dan kerana membalas dendam.
  4. Dalam kes di atas, walaupun hanya memanggil nama sebenar Yahudi dan memanggil gelaran istimewa kepada Ali, Saidina Ali sudah marah kerana dirasakan itu tidak adil. Di zaman kita, ketidakadilan berlaku dalam banyak keadaan. Apabila taqwa kurang. Apabila nafsu rasa berang. Apabila kuasa di tangan. Apabila aku boleh buat apa sahaja dengan sebarangan. Ketika itu mahkamah yang paling adil adalah mahkamah Rabbul-Jalil.

NIK MUHAMMAD NASRI NIK MALEK, Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 10/3/2023

- Advertisement -