Perbicaraan petisyen keputusan PRU15 Parlimen Marang (4)

- Advertisement -

RABU 8 Mac 2023 (sesi pagi): Catatan perjalanan perbicaraan petisyen PRU15 Parlimen Marang P.037.

10:46: Saksi sepina Mohd Aizat Che Omar, 21, seorang pelajar di UiTM di Pahang, mengangkat sumpah untuk memberi keterangan.

Saksi tidak ingat tarikh dia disiasat SPRM. Beliau juga lupa di dalam apakah wang itu diberikan. Saksi menyatakan beliau tidak sihat dan banyak yang beliau lupa, sehinggakan bilakah tarikh mengundi juga, beliau gagal menjawabnya. Peguam pempetisyen akhirnya menamatkan soalannya. Peguam responden, Datuk Takiyuddin Hassan yang hadir pagi ini langsung tidak mahu menyoal saksi memandangkan saksi tidak sihat dan kelihatan agak tidak selesa. Beliau kemudiannya dilepaskan oleh mahkamah, setelah dimohon oleh peguam pempetisyen. Prosiding ini hanya mengambil masa kira-kira 20 minit sahaja.

11:12: Saksi sepina seterusnya, Zainuddin Zakaria, 37, mengangkat sumpah untuk prosiding.

Peguam pempetisyen telah membacakan keterangan kes. Ia dibantah oleh peguam responden kerana ia mungkin ‘leading’ kepada saksi yang sepatutnya saksi membacakannya sendiri. Hakim bertanya kepada saksi sama ada mahu membaca sendiri dan adakah boleh membaca. Saksi menjawab ‘tidak boleh, tidak boleh’ (membaca kerana gugup). Mahkamah menjadi sedikit riuh dengan ketawa kecil. Peguam pempetisyen kemudiannya meneruskan bacaan.

Pada hari mengundi, saksi datang dari Ajil ke pusat mengundi di Sekolah Padang Midin. Beliau menjelaskan, sebelum masuk ke pusat mengundi, beliau singgah di khemah petugas PAS terlebih dahulu dan bertanya jika pengundi luar, adakah akan mendapat wang. Selesai mengundi, beliau disuruh mengisi borang, kemudiannya ke Surau al-Ridhwan selepas diarahkan oleh petugas.

Beliau kurang kenal dengan pemberi wang selepas ditunjukan gambar tetapi mengesahkan menerima wang dari individu tersebut. Saksi menyatakan beliau ditanya oleh pemberi wang adakah betul beliau mengundi PAS. Beliau mengiyakannya dan kemudiannya disuruh bersumpah sebelum menerima wang sebanyak RM100.

Ditanya sudah berapa kalikah mengundi dalam PRU, saksi menjawab dua kali dan tidak pernah mendapat wang sebelum ini. Beliau yang juga pengundi berdaftar di Parlimen Marang juga telah memberi keterangan kepada SPRM sebanyak dua kali. Sehingga selesai pemberian wang itu, beliau tidak lagi dihubungi oleh sesiapa.

11:39: Peguam Responden mula menyoal saksi sepina.

Saksi berkata beliau telah tinggal semenjak 11 tahun lepas di Pengkalan Ajal, Ajil. Beliau mengaku beliau tidak dipaksa oleh sesiapa untuk pergi mengundi di Padang Midin. Pada hari mengundi, beliau melihat banyak khemah parti-parti yang bertanding dan perasan khemah PAS dan BN. Niat beliau ke khemah sebelum mengundi adalah untuk bertanyakan wang pengundi luar.

Saksi bersetuju dengan cadangan peguam responden, yang beliau tidak dipengaruhi oleh sesiapa sebelum mengundi. Dan saksi juga setuju yang tindakan beliau bertanyakan wang bantuan pengundi luar itu adalah kerana beliau datang dari jauh. Sehingga beliau masuk ke pusat mengundi, membuang undi dan kembali ke khemah PAS, beliau tidak dipengaruhi oleh sesiapa.

Beliau beratur di khemah menunggu giliran untuk mengambil borang wang bantuan bagi beliau isi. Sehingga waktu itu juga, beliau tidak dipaksa atau didorong oleh sesiapa, niat hanya untuk minta wang bantuan. Beliau tidak pernah ke surau itu sebelum ini dan mengulangi jawapan yang beliau tidak kenal si pemberi wang.

Saksi bersetuju yang tiada lambang dan logo PAS di surau itu. Beliau tidak menjadi ahli mana-mana parti politik. Beliau mengundi parti yang sama dalam dua PRU dahulu. Dan beliau mengakui beliau memang menjadi penyokong parti yang beliau undi semenjak sebelum 2018 lagi. Saksi juga sependapat dengan peguam yang menyatakan beliau sememangnya sudah mempunyai niat yang jelas untuk mengundi parti mana.

Peguam mencadangkan saksi tidak berbual-bual dengan pemberi wang sebelum dan selepas kejadian itu. Hanya ditanya tinggal di mana dan disuruh bersumpah sahaja. Saksi bersetuju. Dan peguam juga mencadangkan saksi yang beliau sememangnya mengundi PAS. Soalan ini dibantah oleh peguam pempetisyen dengan alasan undi itu adalah rahsia. Peguam responden menolak hujah lawannya dengan menyatakan bahawa saksi telah jelas bersumpah dengan nama Allah sudah mengundi PAS. Hakim membenarkan bantahan peguam pempetisyen.

Saksi seterusnya bersetuju yang beliau faham akan kesan bersumpah dengan nama Allah dan mengakui sumpahnya di hadapan pemberi wang, adalah sama dengan apa yang beliau telah lakukan iaitu memangkah calon mana.

Datuk Takiyuddin mengambil bahagian menyoal:

Siapakah saksi kenal di antara dua calon PRU Marang, saksi menjawab beliau mengenali responden, TS Tuan Guru Haji Hadi Awang dan tidak mengenali calon BN. Saksi menerangkan sekali lagi bahawa beliau tidak dipengaruhi oleh sesiapa sebelum mengundi itu dan sudah ada calon yang ingin beliau undi.

Kali ini, apabila beliau ditanya oleh peguam, adakah pernah ke surau itu, beliau menyatakan beliau pernah ke surau itu sebelum ini kerana beliau berasal di kampung itu sebelum berhijrah ke Ajil. Dan bagi soalan yang diulang, beliau masih mengekalkan jawapan beliau, tiada gambar atau logo parti politik di surau itu. Dan beliau bersetuju dengan peguam yang apabila sudah berada di surau itu, maka tiada guna lagi untuk orang untuk mempengaruhi beliau kerana undi sudah dibuang.

Peguam memberikan ayat yang berlainan untuk saksi bezakan iaitu ‘wallahi saya undi PAS’ dengan ‘wallahi saya akan undi PAS’. Saksi bersetuju ada beza kerana satu sudah dibuat dan satu lagi akan dibuat. Dan perkataan yang dikeluarkan oleh pemberi wang ialah ‘wallahi saya undi PAS’.

Saksi mengakui beliau terkejut kerana disuruh bersumpah sebelum menerima wang. Tetapi saksi menyatakan beliau terkejut bukan kerana tidak melakukan apa yang beliau sumpah, tetapi hanya terkejut kerana mendengar perkataan sumpah itu. Saksi buat kesekian kalinya mengakui beliau tidak dipaksa oleh sesiapa.

Peguam membacakan petisyen yang sedang berlangsung sekarang iaitu pempetisyen menuduh berlakunya rasuah di Surau al-Ridhwan oleh pihak responden. Saksi menjawab tidak tahu. Dan apabila ditanya adakah beliau bersetuju yang beliau telah menerima rasuah dengan mengambil wang bantuan itu. Saksi tidak bersetuju. Saksi juga tidak bersetuju yang apabila peguam mengatakan beliau diberikan wang sebagai sogokan, dorongan atau dipengaruhi untuk mengundi responden.

Saksi juga mengulangi yang beliau tidak merasa terikat untuk mengundi sesiapa atas sumpah itu. Peguam responden selesai menyoal saksi.

Peguam pempetisyen bangun untuk menyoal:

Tiada orang yang bertanyakan saksi selepas beliau selesai membuang undi apabila peguam pempetisyen bertanyakan adakah beliau ditanya oleh pemberi wang siapa yang beliau undi. Saksi menyatakan pemberi wang hanya bertanya alamat dan disuruh bersumpah dan kemudiannya menerima wang bantuan itu.

Peguam pempetisyen bertanya lagi adakah kenal dan tahu yang Jasmira Othman dan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertanding atas parti mana. Beliau menjawab tidak tahu. Sidang mahkamah ketawa atas jawapan beliau itu yang berlainan daripada yang pertama. Dan apabila ditanya adakah kenal peguam responden Datuk Seri Takiyuddin Hassan, saksi menjawab kenal, lalu peguam pempetisyen dan Datuk Takiyuddin tergelak.

Saksi ditanya apakah bentuk lafaz undi yang beliau lafaz ketika mengangkat sumpah itu ‘saya akan undi’ atau ‘saya undi PAS’. Saksi meminta soalan diulang kerana tidak faham. Dan selepas diulang, beliau kemudian menjawab ‘saya undi PAS’. Saksi juga mengulangi jawapan yang beliau terkejut dengan sumpah itu kerana disuruh bersumpah, bukannya kerana tidak melakukan apa yang beliau sumpah. Peguam pempetisyen kemudiannya memohon untuk saksi dilepaskan.

Peguam pempetisyen memaklumkan saksi sepina Haji Nordin Abdul Jalil belum dapat diserahkan kerana hanya akan pulang pada hujung minggu. YB Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Sulaiman Sulong, masih belum memberikan respon kehadiran. YB Ustaz Arifin Deraman pula masih berada di luar negara atas urusan kerajaan. Petang ini saksi wartawan Malaysia Insight, Farhan Darwis akan memberikan keterangan.

12:35: Mahkamah berhenti rehat dan akan disambung semula jam 2:45 petang. – HARAKAHDAILY 8/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -